KESAN kemusnahan di SUmy (kiri). Kanak-kanak yang terselamat dalam serangan Rusia di bandar itu (kanan)
KESAN kemusnahan di SUmy (kiri). Kanak-kanak yang terselamat dalam serangan Rusia di bandar itu (kanan)
Agensi

Kyiv: Seramai 21 orang termasuk dua kanak-kanak dipercayai terbunuh selepas kawasan perumahan bandar Sumy di Ukraine dibom, susulan pencerobohan Rusia ke atas negara jirannya itu.

Metro UK melaporkan kejadian turut menyebabkan seorang lagi kanak-kanak cedera.

Penempatan timur laut itu diserang sejak 13 hari lalu dan Rusia dipercayai menggugurkan bom-bom dengan jumlah berat 453 kilogram ke atas rumah-rumah di dua jalan di bandar berkenaan.

Penasihat kepada Menteri Dalam Negeri Anton Gerashchenko berkata, serpihan masih dibersihkan, tetapi 18 orang disahkan maut.

Pihak berkuasa kemudian berkata, angka kematian itu meningkat kepada 21 orang.

Imej menunjukkan kemusnahan dengan rumah yang rata sepenuhnya.

Jabatan Kecemasan Negara Ukraine berkata, penyelamat dihantar untuk membersihkan serpihan selepas Rusia "dengan kejam menyerang sektor perumahan", dalam "serangan berbahaya".

Rakaman yang dikongsi oleh akaun Twitter rasmi Parlimen Ukraine atau Verkhovna Rada menunjukkan kebakaran menyebabkan serpihan, selepas bom menyebabkan bangunan kediaman terbakar.

"Pesawat Rusia mengugurkan bom di #Sumy, #Ukraine, terdapat korban awam.

"Bom mengenai kawasan perumahan di bandar itu. Rumah rumah orang awam dirobohkan dan dirosakkan. Tentera Rusia juga membedil #Okhtyrka. Ini adalah serangan yang disasarkan ke atas orang awam," katanya.

Satu gambar menunjukkan kanak-kanak dengan kepalanya berbalut dan darah keluar dari mulutnya.

Dia bernasib baik kerana terselamat.

Pihak berkuasa Ukraine menuduh Rusia melakukan jenayah terhadap kemanusiaan dan berkongsi gambar mangsa, termasuk kanak-kanak yang cedera.

Ia berkata, Putin cuba "mengebom bandar supaya mengalah" ketika mereka mengulangi gesaan supaya zon larangan terbang di ruang udara Ukraine.

Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) menolak langkah itu di tengah-tengah kebimbangan tercetusnya perang yang lebih meluas di Eropah.

Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky dijangka membuat rayuan baharu untuk campur tangan negara asing apabila beliau berucap kepada ahli Parlimen United Kingdom dalam ucapan pautan video.

Zelensky menggesa supaya lebih banyak tindakan hukuman terhadap Rusia, termasuk boikot global terhadap eksport minyaknya, yang menjadi kunci kepada ekonominya.

''Jika (Rusia) tidak mahu mematuhi peraturan bertamadun, maka mereka tidak sepatutnya menerima barangan dan perkhidmatan daripada pihak bertamadun," katanya dalam satu klip video.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Mac 2022 @ 11:32 AM