ARMAN Soldin. FOTO AFP
ARMAN Soldin. FOTO AFP
AFP

Kyiv: Koodinator Video AFP Ukraine, Arman Soldin, terbunuh semalam akibat tembakan roket berhampiran Chasiv Yar di timur Ukraine.

Serangan yang berlaku kira-kira 4.30 petang di pinggir bandar berhampiran Bakhmut, pusat pertempuran di timur Ukraine selama beberapa bulan itu disaksikan sendiri wartawan AFP.

Pasukan AFP diserang roket Grad ketika mereka bersama sekumpulan tentera Ukraine.

Soldin, 32, terbunuh apabila roket melanda berhampiran tempat dia berbaring, manakala yang lain tidak mengalami kecederaan.

Pengerusi AFP, Fabrice Fries berkata, kematian Arman satu kehilangan besar buat syarikat.

"Kematiannya adalah satu amaran mengerikan mengenai risiko dan bahaya yang dihadapi wartawan setiap hari yang membuat liputan mengenai konflik di Ukraine," katanya.

Presiden Perancis, Emmanuel Macron memberi penghormatan kepada Soldin di Twitter sambil memuji keberaniannya membuat liputan di medan perang.

"Dengan keberanian dari jam pertama konflik dia berada di hadapan untuk mencari fakta bagi melaporkan kepada kami," katanya.

Kementerian Pertahanan Ukraine turut menyampaikan takziah kepada keluarga dan rakan sekerja Soldin.

Dalam satu kenyataan di Twitter, kementerian itu berkata, mangsa terbunuh dalam serangan peluru berpandu Rusia di Chasiv Yar di wilayah timur Donetsk.

"Dia mendedikasikan hidupnya untuk memberitahu kebenaran kepada dunia.

"Warisan serta tujuannya akan terus kekal hidup," katanya.

Dilahirkan di Sarajevo, Soldin ialah warga Perancis memulakan tugasan dengan AFP sebagai pelatih di biro Rom, pada 2015 sebelum ditukarkan ke pejabat London.

Dia adalah sebahagian daripada pasukan AFP pertama yang dihantar ke Ukraine, sehari selepas pencerobohan Rusia pada 24 Februari.

Soldin menetap di Ukraine sejak September, mengetuai liputan video pasukan dan mengembara secara kerap ke barisan hadapan di timur dan selatan.

Kematian Soldin menjadikan sekurang-kurangnya 11 wartawan atau pengamal media terbunuh ketika membuat liputan perang di Ukraine, menurut kumpulan penyokong media Reporters Without Borders (RSF) dan Jawatankuasa Melindungi Wartawan (CPJ).

Di Washington, Rumah Putih juga memberi penghormatan kepada Soldin, dengan Setiausaha Akhbar, Karine Jean-Pierre berkata, dunia terhutang budi kepada wartawan yang kehilangan nyawa mereka membuat liputan konflik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 10 Mei 2023 @ 11:05 AM