RUBY bersama pemiliknya Erin. FOTO Agensi
RUBY bersama pemiliknya Erin. FOTO Agensi
Agensi

London: Seorang pemilik kucing yang terdesak menggunakan aplikasi mencari jodoh untuk membantu mengesan haiwan kesayangannya yang hilang.

Kucing diberi nama Ruby hilang hujung minggu lalu menyebabkan pemiliknya, Erin Johansen menyelusuri setiap jalan mencari haiwan kesayangannya.

Erin menampal poster di jalanan dalam usaha untuk mencari Ruby, namun gagal menemui kucing berusia enam tahun itu.

Manchester Evening News melaporkan, seorang rakannya mencadangkan dia menggunakan profilnya pada aplikasi mencari jodoh untuk membantu mencari kucing yang hilang.

Walaupun pada mulanya dia tidak pasti mengenai idea itu, wanita berusia 22 tahun itu terkejut apabila pengguna mula melaporkan penampakan Ruby selepas melihat gambarnya muncul pada aplikasi di sekitar Brighton, East Sussex.

Erin yang bekerja di taska dan bar jus berkata, dia mencari Ruby sejak 18 Mac lalu tetapi tidak berjaya.

"Dia seekor kucing yang manis sepanjang masa dan agak bodoh.

"Pada hujung minggu lalu, kami mencari dia dan rakan saya yang sudah mempunyai akaun aktif mencari jodoh meletakkan dia di aplikasi itu dan ia sebenarnya sangat membantu," katanya.

Bagaimanapun, lebih melucukan, rakan itu lupa untuk menukar spesifikasi peribadi untuk Ruby dan menjadikan profil haiwan itu sebagai 'bujang' dengan 'badan sederhana' dan minat dalam 'karaoke, filem dan membaca'.

Rakannya yang tidak mahu dikenali menukar akaunnya kepada gambar Ruby dengan nota yang berbunyi, 'agak pelik tetapi kucing rumah kami hilang'.

"Jika sesiapa pernah melihat kucing ini, sila mesej saya," katanya.

Setakat ini, kira-kira lapan orang menghubunginya mengenai Ruby, tiga daripada mereka menghubungi melalui aplikasi mencari jodoh untuk mengatakan pernah melihat kucing itu.

Erin yang tinggal di kawasan Elm Grove di bandar itu bersama suami Lorcan Johansen, 24, berkata profil itu setakat ini berguna dalam pencarian Ruby.

"Saya fikir kami akan menerima mesej yang mahu mengejek, tetapi semua orang mengambilnya dengan serius dan hanya ingin membantu.

"Kami meletakkan poster tetapi beberapa sudah dirobek dan sebagainya, jadi sangat menyenangkan untuk melihat maklum balas dan semua orang melihat Ruby," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2023 @ 2:00 PM