SAIPOLYAZAN Mat Yusof (tengah) menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada mangsa banjir,  Muhammad Affeq Mustaqim di Kampung Lembah Jaya Utara. FOTO Rohanis Shukri
SAIPOLYAZAN Mat Yusof (tengah) menyampaikan sumbangan keperluan asas kepada mangsa banjir, Muhammad Affeq Mustaqim di Kampung Lembah Jaya Utara. FOTO Rohanis Shukri
Suraya Roslan


Ampang: "Saya terhutang nyawa pada Muhammad Affeq, jika dia tidak selamatkan saya, mungkin saya sudah terkorban selepas terperangkap dalam banjir ini."

W

Itu situasi yang diceritakan Erin Rabiatul Charmein Noor Chaman, 27, selepas banjir lumpur yang melanda Kampung Lembah Jaya Utara, di sini, Isnin lalu.

Erin Rabiatul berkata, ketika kejadian sekitar 6.30 petang, dia menyedari rumahnya dinaiki air lumpur dan terus menyelamatkan enam kucingnya yang diletakkan dalam kereta.

MANGSA banjir lumpur Kampung Lembah Jaya Utara, Erin Rabiatul Charmein Noor Chaman, 27. FOTO Rohanis Shukri
MANGSA banjir lumpur Kampung Lembah Jaya Utara, Erin Rabiatul Charmein Noor Chaman, 27. FOTO Rohanis Shukri

"Selepas meletakkan kereta di tempat tinggi, saya kembali semula ke rumah untuk mencari beberapa lagi kucing yang hilang dan dokumen penting, tetapi malangnya pintu tersekat dan saya terperangkap dalam rumah.

"Hanya Allah mengetahui betapa saya cemas dan ketika itu saya hanya fikirkan mati, mujurlah Muhammad Affeq datang selamatkan saya.

"Muhammad Affeq menyuruh saya memanjat bahunya sebelum saya naik atas gazebo untuk ke bumbung rumah," katanya ketika ditemui di rumahnya hari ini.

Dia yang bekerja sebagai pegawai data analisis sebuah syarikat swasta berkata, ketika itu bapa dan ibunya sudah berada di tempat selamat dan dia berpatah semula untuk menyelamatkan kucing lain.

"Saya terperangkap hampir 10 minit dan ketika itu air sudah meningkat hingga ke paras bahu, disebabkan itu setiap kali azan Maghrib dan hujan lebat saya trauma dan menggigil ketakutan," katanya.

Sementara itu, Muhammad Affeq Mustaqim Nazri, 23, yang juga jiran sebelah rumah Erin Rabiatul berkata, ketika kejadian dia berpatah semula ke rumah untuk mencari mangsa yang terperangkap.

"Saya sempat mengusung nenek yang berusia 82 tahun ke tempat selamat dan berpatah semula ke rumah, saya lihat Erin terperangkap dan minta dia memanjat bahu saya untuk dinaikkan ke atas bumbung.

"Saya terus naik atas tembok pagar untuk melihat mangsa lain, ketika itu saya hanya fikirkan untuk menyelamatkan orang, jika saya dibawa arus, saya reda dan mungkin mati syahid," katanya.

Menurutnya, kejadian banjir Isnin lalu tidak begitu teruk berbanding 2012 yang mencecah bumbung rumah.

"Ketika 2012, saya berada di atas bumbung rumah dan mengambil masa sehingga tiga jam untuk surut, tetapi banjir lumpur kali ini hanya mengambil masa 30 minit untuk surut," katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati, kebanyakan penduduk terjejas sedang bertungkus lumus membersihkan rumah dan pakaian untuk dihantar ke dobi layan diri berdekatan.

Farah Nabila Nazri, 24, berkata, timbunan pakaian yang terkena lumpur itu tidak dihanyutkan kerana terperangkap di bawah almari.

"Ini saja baju yang sempat kami selamatkan, kami cuci lumpur dan hantar ke dobi layan diri untuk dibersihkan.

"Barangan rumah yang lain sudah tidak dapat diselamatkan, kami hanya mampu pasrah sekarang," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS) Saipolyazan M Yusop berkata, seramai 70 keluarga mangsa banjir di kampung itu menerima sumbangan keperluan barangan asas.

"Ketika ini, LZS sedang mengumpul data dan maklumat berkaitan dengan kerjasama pejabat daerah bagi menyelaraskan penyaluran bantuan seterusnya untuk meringankan beban mangsa terbabit bergantung kepada syarat dan kelayakan.

"Bagi asnaf berdaftar dengan LZS yang terbabit dengan musibah banjir ini, boleh menyalurkan maklumat berkaitan kepada penolong amil kariah supaya bantuan yang bersesuaian dapat disalurkan kepada mereka," katanya dalam sidang media selepas melawat mangsa banjir yang terkesan di kampung itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 November 2021 @ 4:55 PM