ERIN CTJ yang membintangi filem Syaitan Munafik. FOTO Aizuddin Saad
ERIN CTJ yang membintangi filem Syaitan Munafik. FOTO Aizuddin Saad
Georgie Joseph


Kuala Lumpur: Penyanyi Erin CTJ, 20, pernah dihina dirinya tiada fungsi dalam industri muzik meskipun sudah keluarkan sembilan lagu dan mula menyanyi sejak usia lapan tahun.

Erin atau nama sebenarnya Siti Erinshahira Jamalludin bagaimanapun jadikan kritikan sebegitu untuknya terus mencapai impian sebagai penyanyi dan enggan berputus-asa.

"Ada yang cakap tak payahlah saya keluarkan lagu, tiada fungsi pun. Kalau keluar pun takkan naik. Tapi saya buat saja sebab ada ibu sebagai pembakar semangat.Saya pun mulai menyanyi sejak kecil dari umur lapan tahun.

"Saya rasa sia-sialah nak patah semangat kan sebab sudah lama dalam industri ini. Jadi, saya kena teruskan sampai saya dapat apa yang diinginkan. Saya nak orang nampak dan hargai bakat saya," kata pelakon filem Syaitan Munafik itu.

Erin yang pernah bertanding Bintang Kecil RTM 2014 dan Dangdut Academy Asia 5 atau DAA5 Indosiar mewakili Malaysia akui sikap pemalunya menjadi punca dia sukar tonjolkan diri.

"Kalau orang nak cakap lagu sudah banyak keluar tapi tak ke depan, saya okay saja. Sebab saya ini jenis introvert dan kuat rasa pemalu nak ke depan. 

"Kalau di media sosial sebab saya rakam sendiri, jadi rasa bebas. Secara peribadi, sikap introvert itu memang kena buanglah jadi seorang artis kan," katanya.

Erin juga berkongsi dia tidak pernah terfikir menggunakan sebarang strategi termasuk gimik bagi menarik perhatian ramai mengenali namanya.

"Kalau buat pun, nanti 'panas' sekejap saja. Saya memang tiada terfikir guna strategi apa-apa," katanya.

Setakat ini, antara lagu pernah dikeluarkan penyanyi naungan Rusa Music itu termasuk Takdir Cinta Kita, Arjuna, Dambaanku, Dengarkan Beb, Jalan Duta, Pengiri Hati, dan Suri Cinta.

 

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Disember 2023 @ 1:56 PM