Erin bersama suami dan anak.FOTO ERINMALEK
Erin bersama suami dan anak.FOTO ERINMALEK
Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon Erin Malek mengesahkan dia kini hamil anak kedua dan usia kandungannya sudah mencecah trimester kedua.

Menurut Erin, dia dan suami tidak menyangka hamil secepat ini memandangkan putera sulungnya, Mohamed Faliq Mohamed Farriz baru menjengah usia setahun.

“Alhamdulillah, keluarga saya bakal bertambah. Ikutkan saya dan suami merancang untuk menambah zuriat apabila usia Faliq lebih setahun.

“Sebelum ini saya sepatutnya melahirkan anak kembar tetapi yang dapat diselamatkan seorang sahaja. Kini, Allah SWT gantikan kehilangan itu dengan kehamilan ini,” katanya.

Erin berkata, sebagai ibu dia tidak sabar mahu menyambut kehadiran bayi keduanya itu.

“Insya-Allah selepas membuat pemeriksaan di klinik, doktor memaklumkan saya bakal melahirkan anak perempuan.

“Tarikh jangkaan bersalin adalah pada Februari tahun depan. Doakan semoga semuanya berjalan lancar,” katanya.

Menurut Erin, dia tidak mengalami alahan teruk dan sihat sepanjang tempoh kehamilan ini.

“Syukur saya sihat dan tidak mengalami sebarang alahan yang teruk.

“Pun begitu, perut saya masih belum membesar meskipun kandungan sudah masuk trimester kedua,” katanya.

Erin melangsungkan pernikahan dengan jejaka pilihannya, Farriz Fauzy pada 10 Oktober 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Oktober 2016 @ 5:50 PM