KOKAIN yang disorok di kerusi roda itu. FOTO Guardia Di Finanza
KOKAIN yang disorok di kerusi roda itu. FOTO Guardia Di Finanza
AP

Rom: Polis mengesan kira-kira 13 kilogram kokain yang disumbat ke dalam upholsteri kerusi roda bermotor dinaiki seorang penumpang di sebuah lapangan terbang di Itali.

Ia selepas anjing mengesan dadah berkenaan.

Unit anjing pengesan itu dihantar di lapangan terbang Malpensa untuk memeriksa penumpang yang tiba dan bagasi mereka dari penerbangan dari Republik Dominika.

Ia kerana sebelum ini penghantar dadah menggunakan laluan itu, kata polis dalam satu kenyataan.

Apabila seekor anjing menarik perhatian pegawai kepada pengembara, polis mula-mula memeriksa bagasinya tetapi ia tidak menghasilkan apa-apa.

Polis kemudian memotong upholsteri kerusi roda dinaiki seorang individu, sebelum menemui kokain.

Polis berkata, apabila kokain itu ditemukan, pengguna kerusi itu iaitu seorang warga Sepanyol dilaporkan bangun dan berjalan tanpa bantuan sebelum dia ditahan.

Penumpang itu dibawa ke penjara tempatan, di mana dia ditahan sementara menunggu siasatan kes berkenaan, kata kenyataan itu.

Polis berkata, dadah ditemukan adalah 11 paket kokain, seberat 13.35 kilogram dan bernilai kira-kira 1.4 juta euro (kira-kira RM 6.2 juta).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 September 2022 @ 11:02 AM