FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Port-au-Prince: Satu kumpulan di Haiti semalam menculik 38 penumpang yang menaiki bas mini dari ibu negara ke selatan.

Presiden Persatuan Pemilik dan Pemandu Haiti, Mehu Changeux berkata, sasaran kumpulan itu membabitkan penumpang yang menaiki dua bas dalam perjalanan ke Miragoane, sebuah bandar kira-kira 100 kilometer dari barat Port-au-Prince.

"Tiba-tiba sekumpulan lelaki dari Village de Dieu menculik mereka.

"Setiap bas mempunyai 18 orang termasuk pemandu," katanya.

Changeux berkata, pihaknya sentiasa menasihatkan pemandu supaya tidak melalui jalan berkenaan sehingga negara memulihkan aspek keselamatan.

"Terdapat beberapa bas yang mengambil risiko kerana sesetengah penumpang tidak mempunyai kemampuan ekonomi untuk membayar pengangkutan melalui jalan gunung," katanya.

Penculikan beramai-ramai itu berlaku ketika Haiti berada dalam cengkaman kumpulan bersenjata yang gagal dikawal pihak polis.

Sejak 1 Jun 2021, pihak berkuasa Haiti tidak dapat mengawal lagi satu-satunya jalan yang menghubungkan Port-au-Prince ke selatan negara itu dengan bahagian kira-kira dua kilometer di bawah pengaruh kumpulan bersenjata.

Hujung minggu lalu, tiga wanita muda Turki dibebaskan selepas sebulan dalam tahanan.

Mereka diculik kumpulan penjenayah yang mengawal seluruh wilayah timur Port-au-Prince, sehingga ke sempadan Republik Dominika.

Kumpulan ini yang merampas bas yang dinaiki mereka dari Santo Domingo, masih menahan lima lagi warga Turki.

Sekurang-kurangnya 200 penculikan direkodkan PBB pada Mei lalu dengan kebanyakan kes berlaku di Port-au-Prince.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Jun 2022 @ 10:00 AM