POLIS berpakaian kostum adiwira The Avengers menahan suspek dalam operasi digelar Marvel. FOTO AFP
POLIS berpakaian kostum adiwira The Avengers menahan suspek dalam operasi digelar Marvel. FOTO AFP
AFP

Lima: Empat anggota polis terpaksa memakai kostum adiwira The Avengers bagi menahan pengedar dadah di kawasan kejiranan berisiko di San Juan de Lurigancho di Peru.

Anggota polis terbabit berpakaian seperti Spider-Man, Captain America, Thor dan Black Widow bagi mengesan beberapa individu yang dikehendaki.

Kawasan berkenaan terkenal dengan aktiviti pengedaran dadah dan berbahaya kepada pihak berkuasa.

Bagi mengaburi mata sindiket berkenaan, anggota polis terbabit menyamar sebagai pekerja sebuah syarikat yang mempromosikan konsert Halloween.

Operasi yang digelar Marvel itu diambil sempena nama penerbit buku komik The Avengers menyaksikan empat pegawai berpakaian seperti adiwira berjalan di kawasan kejiranan itu, Sabtu lalu.

Sebaik tiba di rumah suspek, Spider-Man bersama rakannya mengeluarkan peralatan khas dan memecahkan pintu keluli.

Sebaik pintu berjaya dipecahkan, 10 anggota polis yang turut menyamar menyerbu masuk dan menahan tiga lelaki dan seorang wanita.

Penghuni rumah berkenaan pada mulanya terkejut kerana menyangka ia adalah jenaka Halloween, menurut polis pada Selasa.

"Di bangunan ini, sebuah keluarga menjadi pengedar dadah yang kemudiannya dijual di kawasan berhampiran," kata Kolonel David Villanueva.

Polis merampas 3,250 bungkusan kecil pati dadah kokain, ekstrak mentah daun kokain selain 287 beg berisi kokain, dan 127 paket ganja.

Satu kilogram pati kokain dijual pada harga kira-kira AS$380 (kira-kira RM1,800) di Peru, manakala sekilogram kokain siap proses dijual pada harga kira-kira AS$1,000 (kira-kira RM4,700).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 November 2022 @ 1:45 PM