MARINA Ovsyannikova. FOTO Reuters
MARINA Ovsyannikova. FOTO Reuters
AFP

Moscow: Polis Rusia menahan wartawan Marina Ovsyannikova semalam yang pada Mac lalu mengganggu siaran langsung televisyen untuk mengecam tindakan ketenteraan di Ukraine, kata peguamnya.

Tiada kenyataan rasmi dibuat, tetapi penahanannya dibuat beberapa hari selepas Ovsyannikova yang berusia 44 tahun berdemonstrasi bersendirian berhampiran Kremlin sambil memegang sepanduk mengkritik campur tangan Rusia di Ukraine dan Presiden Vladimir Putin.

"Marina sudah ditahan," kata satu mesej yang disiarkan di akaun Telegram wartawan itu.

Tiada maklumat mengenai keberadaan wartawan itu.

Mesej itu termasuk tiga gambar dia diiringi oleh dua pegawai polis ke sebuah van putih.

Peguamnya, Dmitri Zakhvatov mengesahkan penahanannya kepada agensi berita Ria-Novosti, mengatakan dia tidak tahu ke mana Ovsyannikova sudah dibawa.

"Saya menganggap dia dikaitkan dengan satu cara atau yang lain dengan tindakan protesnya," tambahnya.

Pada Mac lalu, Ovsyannikova yang juga seorang editor di televisyen Channel One, menyerbu set program berita malam sambil memegang poster bertulis 'No War' dalam bahasa Inggeris.

Pada Jumaat, Ovsyannikova menyiarkan gambar dirinya di Telegram yang menunjukkannya berhampiran Kremlin dan membawa selembar bantahan yang membangkitkan kematian kanak-kanak dan mengecam Putin sebagai 'pembunuh'.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Julai 2022 @ 9:48 AM