KELIHATAN mayat anggota tentera Rusia dalam pertempuran di ibu kota Ukraine.
KELIHATAN mayat anggota tentera Rusia dalam pertempuran di ibu kota Ukraine.
AFP

Moscow: Operasi ketenteraan khas Rusia ke atas Ukraine bertujuan melindungi kumpulan pemisah di timur negara itu dan melucutkan tentera jirannya yang pro-Barat.

Presiden Rusia, Vladimir Putin mengumumkan operasi ketenteraan khas ke atas negara jiran itu selepas konflik kedua-dua negara yang sudah berlarutan mencapai kemuncak, kelmarin.

Putin berkata, operasi yang bukan bertujuan menduduki negara itu adalah bagi melindungi kumpulan pemisah di timur negara itu dan 'melucutkan' tentera jirannya yang pro-Barat.

"Saya sudah membuat keputusan operasi ketenteraan," katanya dalam satu pengumuman mengejut di televisyen sejurus sebelum jam 11 pagi (waktu Malaysia).

Beliau mengecam apa yang disebutnya sebagai 'pembunuhan beramai-ramai' yang didalangi Ukraine di timur negara itu dan dasar agresif Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara terhadap Rusia.

"Untuk ini, kami akan berusaha untuk mencapai pelucutan tentera dan de-Nazifikasi Ukraine," kata Putin.

Beliau juga berjanji akan membawa mereka yang melakukan banyak jenayah dan bertanggungjawab atas pertumpahan darah orang awam termasuk warga Rusia ke muka pengadilan.

Dalam pengumuman itu, pemimpin utama Rusia itu menggesa tentera Ukraine supaya 'meletakkan senjata' dan memberi jaminan mereka boleh 'meninggalkan medan perang tanpa sebarang halangan'.

Kata Putin, beliau tidak mahu menjajah Ukraine, tetapi hendak melucutkan senjata tentera negara itu.

"Mereka (Barat) yang cuba campur tangan dengan kami, mereka mesti tahu tindak balas Rusia adalah segera dan akan membawa padah yang anda tidak pernah tahu sebelum ini.

"Saya yakin askar dan pegawai Rusia akan melaksanakan tugas mereka dengan berani," tegasnya.

Bagaimanapun, Putin tidak menyatakan skop operasi ketenteraan atau sama ada ia akan terhad kepada timur Ukraine sahaja.

Seorang wartawan agensi berita AFP di ibu negara Ukraine, Kyiv berkata, dia mendengar bunyi letupan, kira-kira 30 minit selepas pengumuman Putin.

Letupan turut kedengaran di bandar Mariupol, timur Ukraine dan pelabuhan Odessa di Laut Hitam, demikian menurut beberapa koresponden AFP yang lain.

Bunyi letupan juga kedengaran di bandar raya Kharkiv yang terletak sekitar 35 kilometer (km) ke selatan sempadan Rusia.

Ukraine menutup ruang udaranya kepada pesawat awam, manakala Menteri Luar Dmytro Kuleeba mengumumkan Ukraine berdepan pencerobohan 'berskala penuh'.

Sebelum ini, Barat menyatakan Rusia mengerahkan seramai 150,000 askarnya dalam formasi pertempuran ke sempadan Rusia-Ukraine, Belarus dan juga Semenanjung Crimea yang diduduki Moscow.

Kapal perang Rusia turut belayar di Laut Hitam.

Sementara itu, Ukraine pula mempunyai kira-kira 200,000 anggota tentera dan boleh memanggil sehingga 250,000 askar simpanan.

Jumlah tentera Moscow bagaimanapun jauh lebih besar. Rusia mempunyai sekitar sejuta anggota keselamatan aktif, manakala persenjataannya dimodenkan sejak dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Mengulas perkembangan mencemaskan itu, Presiden Amerika Syarikat, Joe Biden segera memberi amaran mengenai 'akibat buruk' yang akan diterima Rusia dan berkata, dunia akan meminta Moscow bertanggungjawab atas tindakan itu.

Katanya, langkah Rusia itu akan menyebabkan 'kehilangan nyawa dan penderitaan manusia pada skala besar', manakala ketua Nato mengecam 'serangan melulu dan tanpa provokasi' Rusia ke atas Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 26 Februari 2022 @ 7:00 AM