SEBUAH bangunan yang musnah di Mariupol, Ukraine. FOTO  Reuters
SEBUAH bangunan yang musnah di Mariupol, Ukraine. FOTO Reuters
AFP

Kyiv: Ukraine mendapatkan semula 60 askar dan 16 orang awam dalam pertukaran tahanan dengan Moscow, tanpa memberikan butiran mengenai berapa ramai orang Rusia 'dipulangkan' ke negara mereka.

"Hari ini kami bertukar 60 askar, termasuk 10 pegawai. 16 orang awam juga pulang ke tanah air," kata timbalan Perdana Menteri Ukraine, Iryna Vereshchuk di Telegram.

Beliau berkata, ia adalah pertukaran tahanan kelima antara kedua-dua negara sejak Presiden Rusia Vladimir Putin melancarkan pencerobohannya ke atas Ukraine pada 24 Februari.

Seperti dalam pertukaran banduan sebelum ini, beliau tidak memberikan jumlah warga Rusia yang ditukar. Pertukaran banduan berlaku ketika Ukraine mendakwa Rusia melancarkan serangan baharu di timur negara itu.

Minggu lalu, Kyiv 'memulangkan' 30 tawanan perang atas arahan Presiden Volodymyr Zelensky yang menawarkan untuk menukar hartawan pro-Kremlin, Viktor Medvedchuk dengan warga Ukraine yang ditangkap Rusia.

Perkhidmatan keselamatan Kyiv pada Isnin menyiarkan video Medvedchuk meminta sekutunya, Putin, dan Zelensky untuk menukarnya sebagai balasan untuk pemindahan orang awam dan tentera dari bandar pelabuhan Mariupol.

Sementara itu, Rusia pada Selasa menggesa tentera Ukraine segera meletakkan senjata dan mengeluarkan kata dua baharu untuk menyerah.

Amaran kementerian pertahanan Rusia itu selepas Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mengumumkan pada Isnin permulaan serangan baharu oleh Moscow yang tertumpu di timur negara bekas Soviet itu.

"Kami sekali lagi menyeru pihak berkuasa Kyiv untuk menunjukkan alasan dan memberi arahan yang sepadan kepada pejuang untuk menghentikan penentangan tidak masuk akal mereka," kata kementerian pertahanan Rusia dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu tidak menyebut secara langsung serangan darat baharu di timur Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 April 2022 @ 9:57 AM