VLADIMIR Kara-Murza. FOTO Moscow City Court/ AFP
VLADIMIR Kara-Murza. FOTO Moscow City Court/ AFP
AFP

Moscow: Mahkamah Rusia menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun terhadap pengkritik Kremlin, Vladimir Kara-Murza atas pelbagai tuduhan termasuk pengkhianatan susulan kritikannya terhadap perang di Ukraine.

Perbicaraan berprofil tingginya di Moscow adalah yang terbaru dalam rentetan kes terhadap suara pembangkang di Rusia, dalam tindakan keras yang semakin meningkat sejak Presiden Vladimir Putin menghantar tentera ke Ukraine, tahun lalu.

Kara-Murza, 41, didapati bersalah melakukan pengkhianatan, menyebarkan maklumat 'palsu' mengenai tentera Rusia dan bergabung dengan 'organisasi yang tidak diingini'.

Dia dijatuhi hukuman 25 tahun di koloni penjara rejim yang ketat berikutan perbicaraan tertutup.

Dalam kata-kata terakhirnya di mahkamah minggu lalu, Kara-Murza berkata, beliau tetap dengan kenyataan politiknya termasuk menentang serangan Rusia di Ukraine.

"Saya tetap dengan pendirian setiap perkataan yang saya katakan, saya didakwa untuk hari ini," kata Kara-Murza dalam komen yang diterbitkan oleh wartawan veteran, Alexei Venediktov.

"Bukan sahaja saya tidak menyesali untuk apa-apa daripadanya, saya bangga dengannya," tambahnya.

Kara-Murza ditahan pada April tahun lalu atas tuduhan menyebarkan apa yang pihak berkuasa anggap sebagai maklumat palsu mengenai tentera Rusia melalui ucapan kepada anggota dewan badan perundangan Arizona, Mac lalu.

Pada Ogos 2022, Kara-Murza dituduh bergabung dengan organisasi yang tidak diingini kerana menyertai persidangan menyokong tahanan politik.

Pada Oktober, dia didakwa melakukan pengkhianatan atas kenyataan mengkritik Moscow yang dibuat di tiga acara awam di luar negara, peguamnya memberitahu agensi berita TASS yang dikendalikan kerajaan.

Peguamnya berkata, Kara-Murza adalah seorang tahanan politik yang pendakwaannya tidak mempunyai kaitan dengan keadilan.

"Kes jenayah terhadapnya tidak ada kaitan dengan keadilan sejak awal," kata peguam Vadim Prokhorov di Washington.

Isterinya, Evgenia Kara-Murza berkata, hukuman itu menunjukkan ketakutan kerajaan Putin terhadap pengkritik lantang seperti suaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 11:55 AM