VLADIMIR Putin (kanan) mendengar taklimat daripada Timbalan Menteri Rusia Marat Khusnullin di kejiranan baharu dibina di Mariupol. FOTO AFP
VLADIMIR Putin (kanan) mendengar taklimat daripada Timbalan Menteri Rusia Marat Khusnullin di kejiranan baharu dibina di Mariupol. FOTO AFP
AFP

Kiyv: Presiden Rusia Vladimir Putin membuat lawatan mengejut ke Mariupol iaitu lawatan pertamanya ke wilayah ditawan dari Ukraine itu, sejak permulaan pencerobohan Moscow, kata Kremlin pada Ahad.

Menerusi rakaman video, Putin yang menaiki pesawat mendarat di Mariupol, bandar pelabuhan ditawan Moscow selepas beberapa jam beliau melawat Crimea sempena ulang tahun kesembilan wilayah itu.

Lawatan berkenaan mencetuskan kemarahan Ukraine dengan seorang pembantu presiden mengkritiknya.

Kremlin berkata, pemimpin Rusia itu dilihat menaiki kereta melawat kawasan bandar termasuk teater muzikal yang dibina semula dan mengikuti pembentangan laporan kerja pembinaan teater berkenaan.

Jurucakap Kremlin Dmitry Peskov memberitahu pemberita bahawa lawatan itu mengejut dan berkata, pergerakan Putin di sekitar bandar serta pertemuan bersama penduduk tempatan tidak dirancang.

Ia adalah lawatan pertama Putin ke wilayah timur Donbas sejak melancarkan pencerobohan pada Februari 2022, dan hampir setahun selepas Moscow mengumumkan menawan Mariupol susulan kempen yang menyaksikan pemusnahan Azovstal, tahanan akhir tentera Ukraine di bandar pelabuhan strategik itu.

"Penjenayah sentiasa kembali ke tempat kejadian... pembunuh ribuan keluarga Mariupol datang untuk mengagumi runtuhan bandar dan kubur. Meragukan dan tiada penyesalan," ciap pembantu presiden Ukraine Mykhaylo Podolyak di Twitternya.

Kementerian Pertahanan Ukraine di Twitter memaklumkan Putin melawat bandar itu pada waktu malam sebagaimana layaknya seorang pencuri.

"Dia melihat pembinaan semula bandar... pada waktu malam. Mungkin untuk tidak melihat bandar itu dibunuh oleh pembebasannya di siang hari," kata Majlis Bandaraya Mariupol di Telegram.

Lawatan itu menjelang lawatan ke Moscow, minggu ini, oleh Presiden China Xi Jinping, yang dilihat sebagai rampasan kuasa diplomatik Putin.

Beijing, sekutu strategik Moscow menggembar-gemburkan perjalanan itu sebagai lawatan keamanan kerana bertujuan menjadi orang tengah dalam konflik Ukraine.

China berusaha meletakkan diri sebagai pihak berkecuali menggesa Moscow dan Kiyv membuka rundingan, namun pemimpin Barat berulang kali mengkritik Beijing kerana gagal mengutuk serangan Rusia, menuduhnya memberikan Moscow perlindungan diplomatik.

Kremlin berkata, Putin juga bertemu ketua tentera termasuk ketua kakitangan am, Valery Gerasimov di bandar selatan Rusia Rostov-on-Don berhampiran sempadan Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 Mac 2023 @ 10:39 AM