GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Madrid: Saintis di Sepanyol melaporkan kes jangkitan semula Covid-19 dengan jurang jangkitan terpendek membabitkan petugas kesihatan sudah lengkap vaksinasi.

Petugas wanita berusia 31 tahun itu dijangkiti Covid-19 sebanyak dua kali dalam tempoh 20 hari, tempoh terpendek pernah dilaporkan.

Petugas terbabit disahkan positif wabak itu sebelum Krismas pada Disember 2021 dan dijangkiti sekali lagi pada Januari 2022.

Penyelidik menganggap kes itu bukti lanjut bahawa varian Omicron boleh mengelak imuniti daripada jangkitan sebelumnya.

The Guardian melaporkan petugas itu lengkap vaksinasi dan menerima dos penggalak 12 hari sebelum disahkan positif Covid-19 menerusi ujian saringan PCR di tempat kerja pada 20 Disember 2021.

Dia yang tidak menunjukkan sebarang gejala menjalani kuarantin selama 10 hari, sebelum kembali bekerja.

Pada 10 Januari lalu, dia telah didapati positif sekali lagi melalui ujian PCR apabila mengalami gejala batuk, demam dan berasa tidak sihat.

Penjujukan genom dilakukan menunjukkan pesakit terbabit dijangkiti dua varian Covid-19 yang berbeza iaitu jangkitan pertama adalah varian Delta, manakala kedua Omicron.

Dr Gemma Recio daripada Institut CatalĂ  de la Salut di Tarragona dan seorang daripada saintis terbabit kajian berkata, "kes itu menyerlahkan potensi varian Omicron untuk mengelak imuniti sebelumnya yang diperoleh sama ada daripada jangkitan semula jadi dengan varian lain atau daripada vaksin."

Katanya, kes itu turut menggariskan kepentingan pengawasan genomik.

"Pemantauan sedemikian akan membantu mengesan varian dengan keupayaan untuk mengelakkan sebahagian daripada tindak balas imun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 April 2022 @ 7:40 AM