PENUMPANG memakai pakaian perlindungan diri ketika tiba di Lapangan Terbang Incheon, Korea Selatan. Negara itu sudah menyekat kemasukan pengembara asing dari lapan negara Afrika susulan varian Omicron. FOTO EPA
PENUMPANG memakai pakaian perlindungan diri ketika tiba di Lapangan Terbang Incheon, Korea Selatan. Negara itu sudah menyekat kemasukan pengembara asing dari lapan negara Afrika susulan varian Omicron. FOTO EPA
AFP

The Hague: Varian baharu Covid-19, Omicron yang tersebar di seluruh dunia menyebabkan sempadan ditutup serta sekatan diadakan semula ketika pihak berkuasa sedang mengenal pasti puncanya.

AFP melaporkan, Indonesia mengumumkan sekatan masuk yang sama pada Ahad dan Angola menjadi negara pertama yang menggantung semua penerbangan dari negara jiran serantaunya Mozambique, Namibia dan Afrika Selatan.

Digelar Omicron, varian itu menimbulkan keraguan terhadap usaha global untuk memerangi wabak itu kerana kebimbangan mengenai penularannya, memaksa banyak negara untuk melaksanakan semula langkah-langkah kawalan sebelum ini.

Pihak berkuasa kesihatan Belanda berkata, ia mengenal pasti sekurang-kurangnya 13 kes Omicron dalam kalangan 61 penumpang yang dikuarantin kerana didapati positif Covid-19 selepas tiba dari Afrika Selatan.

"Kami sedar bahawa kami kini dalam perlumbaan dengan masa," kata ketua Suruhanjaya Eropah Ursula von der Leyen.

Katanya, pengeluar vaksin memerlukan dua hingga tiga minggu untuk mendapatkan gambaran penuh kualiti mutasi.

"Siasatan masih belum selesai. Varian baharu boleh didapati dalam lebih banyak sampel ujian," kata Institut Kesihatan Awam Negara.

Di sebalik amaran itu, puluhan ribu penduduk Austria berhimpun untuk membantah pengenalan vaksin wajib oleh kerajaan.

Canselor Alexander Schallenberg berkata, ia adalah gangguan kecil berbanding alternatif untuk negara yang mempunyai salah satu kadar vaksinasi terendah di Eropah Barat.

Dengan banyak negara Eropah, termasuk Jerman dan Perancis sudah mengenakan sekatan semula untuk mengatasi lonjakan jangkitan, penduduk Switzerland dengan tegas menyokong undang-undang pas Covid-19 yang dicadangkan menerusi referendum pada Ahad.

Di United Kingdom (UK), Setiausaha Kesihatan Avid Javid berkata peraturan baharu Covid-19 akan dikuatkuasakan mulai Selasa.

Pemakaian pelitup muka sekali lagi akan diwajibkan di kedai dan pengangkutan awam di England manakala semua penumpang yang tiba perlu mengambil ujian PCR dan mengasingkan diri sehingga negatif.

Ketika saintis sedang berusaha gigih untuk menentukan tahap ancaman yang ditimbulkan varian baharu itu, seorang doktor Afrika Selatan berkata berpuluh-puluh pesakitnya yang disyaki positif jangkitan Omicron hanya menunjukkan gejala ringan seperti keletihan.

Pengerusi Persatuan Perubatan Afrika Selatan, Angelique Coetzee, memberitahu AFP dia melihat 30 pesakit dalam tempoh 10 hari lalu yang diuji positif untuk Covid-19 pulih sepenuhnya tanpa dimasukkan ke hospital.

Coetzee berkata, adalah malang bahawa Omicron disifatkan sebagai varian yang sangat berbahaya kerana tahap keganasannya masih tidak diketahui.

Senarai panjang menunjukkan beberapa negara sudah pun mengenakan sekatan perjalanan ke selatan Afrika, tempat ia mula dikesan, termasuk hab perjalanan utama Qatar, Amerika Syarikat, UK, Arab Saudi, Kuwait dan Belanda.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 November 2021 @ 10:49 AM