GAMBAR hiasan. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. FOTO AFP
Amir Abd Hamid
amir_hamid@mediaprima.com.my


Kuala Lumpur: Kebanyakan kes yang membabitkan jangkitan Covid-19 varian Omicron dilaporkan di luar negara masih berada di peringkat ringan dan sederhana.

Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Madya Dr Rosnah Sutan berkata, Omicron juga dimaklumkan sangat mudah menjangkiti tetapi belum pasti tahap agresif atau keterukan jangkitan.

Beliau berkata, di Malaysia belum dipastikan lagi adakah varian yang dibimbangi (VOC) itu sudah berada dalam komuniti atau sebaliknya.

"Adakah ia sama seperti apa yang dilaporkan di luar luar negara? Itu belum dapat dipastikan.

"Apa pun, sedia maklum bahawa populasi kita ramai mempunyai risiko yang tinggi seperti penyakit kencing manis, darah tinggi, jantung, buah pinggang kurang berfungsi, penyakit hati, anemia dan risiko gaya hidup tidak sihat seperti kurang aktif, kegemukan, merokok selain risiko kesihatan mental yang tinggi di atas keruntuhan ekonomi keluarga yang memberi tekanan hidup.

"Kesemua risiko dan penyakit ini mengundang stress (tekanan) kepada daya tahan imuniti badan dan menyebabkan kita mudah terkena penyakit serta kurang kuat untuk melawan semula jika kita tiada vaksin lengkap," katanya.

Beliau mengulas mengenai varian virus B1.1529 atau Omicron sudah dikesan masuk Malaysia.

Dr Rosnah berkata, walaupun vaksin yang sudah diterima merujuk kepada jangkitan varian terdahulu, namun, penyelidik mendapati imuniti dari vaksinasi Covid-19 mampu membantu mencegah jangkitan teruk termasuk daripada varian lain dan walaupun bukan 100 peratus.

"Oleh itu sebagai individu teruslah amalkan dengan baik norma baharu dalam kehidupan seperti pemakaian pelitup muka, menjauhi diri untuk keluar jika tiada keperluan, mengamalkan penjarakan di luar rumah, sentiasa memastikan kebersihan diri, amalkan membasuh tangan dengan betul dan kerap atau menggunakan sanitasi yang sesuai.

"Kita tidak perlu panik jika kita mengamalkan norma baharu sebaik mungkin dan hakikatnya negara perlu terus menggiatkan sektor ekonomi tetapi dengan memastikan setiap aktiviti kerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) sebaik mungkin," katanya.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dalam sidang media semalam memberitahu kes pertama positif varian yang dibimbangi (VOC) Omicron dikesan di Malaysia membabitkan pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu.

Khairy dilaporkan berkata, penuntut di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak itu menjalani ujian RT-PCR Covid-19 setibanya di pintu masuk antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mengesahkan sampel ujian saringan berkenaan positif Covid-19 dengan CT Value 26.68 pada 20 November lalu," kata Khairy dalam sidang media semalam.

Omicron dikenalpasti oleh penyelidik di Afrika Selatan, beberapa negara lain dan dilaporkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada pertengahan November 2021.

Setakat ini, Omicron sudah merebak di 26 negara termasuk Singapura.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Disember 2021 @ 11:07 AM