ORANG ramai menyaksikan matahari terbit pada solstis musim panas di Pompei, dekat Naples, selatan Itali. FOTO EPA
ORANG ramai menyaksikan matahari terbit pada solstis musim panas di Pompei, dekat Naples, selatan Itali. FOTO EPA
AFP

Rom: Itali, salah satu negara di Eropah yang teruk dilanda pandemik Covid-19 tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup muka di tempat awam berkuat kuasa 28 Jun depan.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Kesihatan Itali, Roberto Speranza dalam satu kenyataan, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook, Speranza memaklumkan arahan itu berkuat kuasa di kawasan dilabelkan 'putih' di bawah sistem klasifikasi Itali.

Ia merangkumi keseluruhan Itali kecuali Lembah Aosta iaitu sebuah kawasan di barat laut negara itu.

Pengumuman Speranza itu dibuat selepas mendapat nasihat daripada panel penasihat Jawatankuasa Teknikal Saintifik (CTS).

Bagaimanapun, orang ramai masih perlu membawa pelitup muka ketika ke majlis yang mempunyai risiko tinggi penularan Covid-19 seperti perhimpunan besar-besaran.

Menjelang 28 Jun lalu, pakar menjangkakan Itali diklasifikasikan sebagai zon putih berdasarkan rekod semasa yang dicatatkan iaitu 21 kematian dan 495 kes di seluruh negara.

Menurut rekod, Itali mencatatkan 127,291 kematian sejak penularan pandemik dalam negara awal tahun lalu dengan 4.25 juta kes jangkitan.

Setakat ini, sebanyak 30 peratus individu berusia lebih 12 tahun ke atas sudah divaksin bersamaan 16 juta daripada 60 juta jumlah populasi di seluruh negara.

Ini bermakna 46 juta dos vaksin sudah diberi di Itali secara keseluruhan

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Jun 2021 @ 9:51 AM