Nor 'Asyikin Mat Hayin


Serangan rasa kebas dan kesakitan pada tangan, terutama hujung tiga jari iaitu ibu jari, jari telunjuk serta jari tengah, tidak boleh dipandang mudah kerana ia adalah gejala sindrom terowong carpal (CTS).

CTS ialah masalah yang terjadi apabila terowong pada pergelangan tangan sempit dan menghimpit saraf median.

Tindakan membiarkan gejala ini lama tanpa rawatan yang betul boleh menyebabkan otot pada tangan yang dirangsang oleh saraf median mengecut.

Kesannya mengakibatkan tiga jari itu menjadi lemah dan tidak boleh berfungsi dengan baik yang akhirnya menjejaskan kualiti kehidupan pesakit.

Pakar Perunding Neurologi Hospital Canselor Tuanku Muhriz Prof Madya Dr Rabani Remli berkata, lazimnya CTS menyerang bahagian tangan yang dominan kerana anggota itu melakukan banyak pergerakan seperti menggunakan komputer, menyapu lantai dan memasak.

Menurutnya, gejala serangan CTS bermula dengan rasa kebas pada tiga jari pertama (ibu jari, jari telunjuk dan jari tengah) yang membuatkan pesakit berasa tidak selesa apabila kerap membuat pergerakan.

"Atau, gejala ini membuatkan mereka berasa tidak selesa semasa tidur.

"Serangan kebas yang teruk pula menyebabkan pesakit terjaga daripada tidur dan mengibaskan tangan bagi mengurangkan rasa kebas serta lenguh," katanya.

Untuk rekod, di Malaysia, kajian tempatan melaporkan, prevalens penyakit itu antara 20 hingga 60 peratus. CTS lebih kerap berlaku terhadap wanita berbanding lelaki.

SINDROM terowong carpal.
SINDROM terowong carpal.

Dr Rabani berkata, punca lain CTS ialah kecederaan pada pergelangan tangan.

"Bahagian ini (pergelangan tangan) terdapat banyak tulang dan apabila ia patah, ia akan menyebabkan pembengkakan di kawasan berkenaan.

"Kesan daripada kecederaan ini mengakibatkan terowong menjadi tidak normal dan sempit," katanya.

Beliau berkata, mereka yang bekerja dalam bidang memerlukan banyak pergerakan tangan seperti pemain gitar dan piano, guru dan pekerja di tapak pembinaan berisiko mengalami CTS.

"Selain itu, individu yang mempunyai berat badan berlebihan, wanita mengandung dan pesakit kencing manis turut tersenarai sebagai golongan berisiko penyakit berkenaan," katanya.

Ditanya cara mengenal pasti CTS, beliau berkata, langkah pertama dimulakan dengan mengambil riwayat pesakit apabila mereka memaklumkan mengalami kebas pada tiga jari pertama dan tangan itu turut merasai rangsangan elektrik.

"Berdasarkan gejala dialaminya, pesakit disyaki menghidap CTS. Pemeriksaan fizikal tangan menunjukkan kurang rangsangan kebas atau lemah pada tiga jari utama akan meningkatkan kemungkinan diagnosis CTS.

BERJUMPA doktor untuk pemeriksaan lanjut.
BERJUMPA doktor untuk pemeriksaan lanjut.

"Kemudian doktor akan melakukan ujian imbasan sinar-X ke atas pesakit yang pernah mengalami kemalangan, bagi meneliti struktur tulang seterusnya dan mengenal pasti diagnosis.

"Tujuannya untuk memastikan tiada tulang patah atau tulang tumbuh pada pergelangan tangan yang menyebabkan terowong sempit dan menghimpit saraf median," katanya.

Dr Rabani berkata, seterusnya ialah ujian saraf akan dilakukan untuk merekodkan perjalanan saraf merentasi terowong.

"Sekiranya ujian ini menunjukkan terdapat perjalanan saraf yang melalui terowong itu perlahan, ia memberikan kepastian hampir 90 peratus gejala dialami adalah disebabkan CTS.

"Pada masa masa, kita akan memastikan pesakit tidak mempunyai masalah kesihatan lain. Contoh, menghidap kencing manis dan penyakit berkaitan endokrin.

"Kekurangan hormon tiroid juga boleh mencetuskan gejala CTS.

"Cara terakhir ialah melakukan ujian ultra bunyi saraf untuk menambah peratusan kesahihan diagnosis penyakit ini," katanya.

BANYAK menggunakan komputer boleh menyebabkan CTS.
BANYAK menggunakan komputer boleh menyebabkan CTS.

Mengenai rawatan pula, katanya, pesakit dicadangkan untuk menjalani rawatan konservatif seperti fisioterapi, sekiranya mengalami gejala ringan dan sederhana CTS.

"Dalam rawatan ini, ia akan menggunakan lilin hangat kerana elemen hangat atau suam boleh melancarkan peredaran darah dan saraf yang terjejas.

"Sekali gus ia dapat mengurangkan rasa kebas pada tangan pesakit," katanya

Jelasnya, bagi rawatan kedua, dicadangkan pesakit berehat dan tidak membuat banyak pergerakan pada tangan yang bermasalah.

Kaedah fisioterapi juga boleh disarankan kepada pesakit.

"Kaedah rawatan seterusnya ialah menyarankan pesakit memakai 'splint' iaitu sejenis alat yang digunakan untuk menyokong pergelangan bagi mengurangkan pergerakan.

"Amalkan gaya hidup sihat dengan mengekalkan berat badan yang normal dan dapatkan rawatan bagi penyakit kencing manis serta masalah endokrin juga boleh membantu mengurangkan gejala CTS.

"Ada pesakit mengalami gejala berterusan yang menyebabkan tangan semakin lemah dan sukar dirawat secara konservatif.

"Oleh itu, pesakit ini akan dirujuk kepada pakar ortopedik untuk rawatan pembedahan bagi membuka terowong yang sempit," katanya.

Menurut Dr Rabani, peratusan pesakit sembuh daripada penyakit CTS adalah kepada keupayaan mengenal pasti CTS pada peringkat awal dan juga puncanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Februari 2023 @ 7:00 AM