ORANG ramai menikmati makanan di bahagian luar restoran di New York. FOTO AFP
ORANG ramai menikmati makanan di bahagian luar restoran di New York. FOTO AFP
BERNAMA

Washington: Presiden Donald Trump berkata, pandemik Covid-19 di Amerika Syarikat (AS) mungkin akan 'bertambah parah sebelum ia menjadi lebih baik', lapor agensi berita Xinhua.

"Mungkin, ia akan menjadi lebih buruk sebelum keadaan menjadi lebih baik, sesuatu yang saya tidak suka untuk katakan tetapi itulah hakikatnya," kata Trump pada taklimat media di Rumah Putih, Selasa.

"Beberapa kawasan di negara kita menunjukkan perkembangan baik, yang lain kurang baik," katanya kepada wartawan.

"Florida sekarang sedang melalui keadaan yang sukar - atau dalam keadaan yang sangat getir."

Lebih 3.8 juta penduduk AS dijangkiti virus itu, dengan lebih 141,000 kematian, menurut Johns Hopkins University.

Beberapa negeri, termasuk Florida mengalami lonjakan kes.

Trump, yang tidak memakai pelitup muka semasa memberi taklimat, mengakui penggunaannya berkesan untuk membendung penularan, sambil berkata "saya tidak ada masalah dengannya."

"Sama ada anda suka pelitup muka atau tidak, ia mempunyai kesan. Kami meminta semua orang apabila anda tidak boleh amalkan penjarakan sosial, dapatkan pelitup muka dan pakai," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Julai 2020 @ 12:26 PM