KAABAH. FOTO AFP
KAABAH. FOTO AFP
AFP

Riyadh: Arab Saudi menarik balik semua sekatan Covid-19 termasuk penjarakan fizikal di kawasan awam dan hanya pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup.

Langkah berkenaan dilihat bakal memudahkan urusan jemaah haji dan umrah ke negara itu.

Ia turut merangkumi penggantungan "langkah penjarakan fizikal di semua kawasan tertutup dan terbuka" termasuk masjid, lapor Agensi Berita Saudi (SPA) memetik sumber Kementerian Dalam Negeri.

Selain itu, pemakaian pelitup muka juga hanya diwajibkan di kawasan tertutup, berdasarkan keputusan terbaharu itu yang berkuat kuasa semalam.

Laporan SPA turut mengatakan Arab Saudi juga tidak lagi mewajibkan pelawat divaksin menunjukkan hasil ujian negatif PCR atau RTK sebelum tiba ke negara itu, atau diwajibkan menjalani kuarantin.

Pandemik Covid-19 menjejaskan perjalanan jemaah umrah dan haji yang kebiasaannya menjadi penyumbang pendapatan utama negara itu dengan pendapatan sekitar AS$12 bilion (RM50 bilion) setiap tahun.

Tahun lalu, penularan Covid-19 memaksa Arab Saudi mengurangkan jumlah jemaah haji untuk tahun kedua berturut-turut, dengan hanya 60,000 rakyat dan penduduk negara itu yang lengkap divaksin, dibenarkan menunaikan haji.

Sejak pandemik itu bermula, Arab Saudi merekodkan lebih 746,000 kes Covid-19 dan 9,000 kematian, daripada populasi berjumlah 34 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 6 Mac 2022 @ 9:50 AM