Risalah terbaharu yang mengancam penduduk di Tebing Barat. FOTO Roya News
Risalah terbaharu yang mengancam penduduk di Tebing Barat. FOTO Roya News
Agensi

Tebing Barat: Tentera Israel mengedarkan risalah ancaman kepada penduduk di Tebing Barat, Palestin supaya tidak terbabit dalam sebarang aktiviti sepanjang Ramadan.

Roya News melaporkan, risalah yang diedarkan kepada rakyat Palestin menyatakan, Israel akan menyerang sesiapa sahaja yang cuba menjejaskan keselamatan negara termasuk mengambil bahagian dalam perarakan menentang mereka.

"Kami mengatakannya dengan jelas, kami tidak akan melepaskan sesiapa sahaja yang cuba, berfikir, menghasut atau menulis menentang Israel atau mengambil bahagian dalam sebarang perarakan atau aktiviti.

"Sesiapa yang percaya, kami akan berundur adalah silap," kata amaran Israel dalam risalah terbaharu.

Amaran itu menyatakan supaya penduduk tidak menyokong pejuang Hamas dan jihad Islam.

"Jauhi Hamas dan Jihad Islam. Jangan berikan mereka sebarang sokongan, jangan tulis tentang mereka, jangan doakan mereka di masjid… Jika tidak, ahli keluarga anda akan kehilangan permit mereka," kata risalah itu.

Risalah itu turut memberi peringatan kepada penduduk supaya memanfaatkan Ramadan dengan aktiviti lebih berfaedah.

"Ramadan adalah bulan bertafakur, mendekatkan diri kepada Allah, merendah diri, menahan diri dan memohon keampunan.

"Luangkan masa bersama keluarga anda, jaga anak-anak anda dan bina masa depan anda.

"Kami memohon kepada Allah supaya menerima amal baikmu dan memberkatimu dan ahli keluargamu," kata petikan risalah itu.

Seperti biasa, risalah itu juga turut menyalahkan kumpulan pejuang Hamas sehingga menyaksikan kehancuran dan kematian di Gaza sambil menggunakan petikan sepotong ayat al-Quran.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 12:34 PM