ASAP tebal dilihat dari sebuah bangunan susulan serangan tentera Israel di Gaza. FOTO AFP
ASAP tebal dilihat dari sebuah bangunan susulan serangan tentera Israel di Gaza. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Sekurang-kurangnya 12 terbunuh termasuk tiga pimpinan tertinggi pejuang kumpulan Jihad Islam dalam satu serangan udara dilancarkan Israel di Gaza, awal pagi tadi.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, wanita dan kanak-kanak adalah antara mangsa yang maut, namun butiran mereka belum dikenal pasti.

Kumpulan pejuang Jihad Islam mengesahkan, tiga pegawai kanan mereka terbunuh.

Katanya, mereka ialah Setiausaha Majlis Tentera Briged Al-Quds, Jihad Ghannam; Komander sayap tentera utara Gaza, Khalil al-Bahtini serta ketua operasi ketenteraan di Tebing Barat , Tareq Ezzedine.

"Kami meratapi pemimpin, isteri dan beberapa anak mereka yang terbunuh dalam jenayah Zionis pengecut," kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, tinjauan AFP mendapati, bahagian atas bangunan terbakar sejurus selepas serangan serta ambulans sedang memindahkan mangsa.

Selain itu di selatan Semenanjung Gaza, Rafah, jurugambar AFP melihat jenazah seorang lelaki yang dikenali sebagai Jihad Ghannam.

Jurucakap tentera Israel, Richard Hecht berkata, pihaknya menyasarkan tiga pemimpin Jihad Islam, yang dianggapnya sebagai pertubuhan pengganas dan menghentam tapak pembuatan senjata milik kumpulan itu.

Katanya, mereka mencapai sasaran dalam serangan membabitkan 40 pesawat itu.

"Jika terdapat beberapa kematian tragis, kami akan menelitinya," katanya ketika ditanya wartawan mengenai kematian membabitkan kanak-kanak.

Wartawan AFP memberitahu, letupan daripada serangan udara yang bermula kira-kira 2 pagi tadi didengari selama hampir dua jam.

Operasi itu dilakukan kurang seminggu selepas pejuang Hamas mengumumkan gencatan senjata di sekitar Gaza, dengan tajaan Mesir, berikutan keganasan yang semakin meningkat.

Sejak Hamas menguasai wilayah Palestin pada 2007, Israel dan Gaza, berperang beberapa kali.

Tragedi terbaharu ini menjadikan jumlah penduduk Palestin yang terbunuh dalam konflik Israel-Palestin kepada 120 orang setakat ini, sepanjang tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 Mei 2023 @ 2:26 PM