RISALAH terbaharu Israel menawarkan ganjaran lumayan bagi penduduk Gaza yang berjaya memberi maklumat pemimpin kanan Hamas. FOTO Noor Harazeen
RISALAH terbaharu Israel menawarkan ganjaran lumayan bagi penduduk Gaza yang berjaya memberi maklumat pemimpin kanan Hamas. FOTO Noor Harazeen
Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Lebih dua bulan 'membantai' Gaza dan Tebing Barat, Palestin sehingga mengorbankan lebih 18,608 nyawa tidak berdosa, Israel masih tidak dapat mengesan kedudukan kumpulan pejuang Hamas.

Kini, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) dilihat semakin terdesak sehingga terpaksa menyebarkan risalah baharu meminta bantuan penduduk Palestin bagi menjejaki musuh mereka.

Orang ramai juga menerima majalah propaganda Zionis yang kandungannya menentang pemimpin kumpulan Hamas selain memberi amaran kepada penduduk Gaza supaya tidak berurusan atau menyokong Hamas.

Dalam risalah terbaharu itu, Israel menawarkan ganjaran sejumlah wang tunai lumayan bagi penduduk Palestin yang berjaya memberikan maklumat tentang pemimpin tertinggi Hamas.

Antara pemimpin kanan Hamas yang disertakan dalam maklumat pencarian IDF ialah Ketua Hamas, Yahya Sinwar dengan AS$ 400,000 (RM1.8 juta) nilai ganjaran kepada penduduk yang berjaya membantu penahanannya serta AS$ 300,000 (RM1.4 juta) untuk pencarian adiknya, Muhammad Sinwar.

IDF turut mencari Komander Batalion Khan Younis Hamas, Rafi' Salamah AS$200,000 (RM934,500) serta AS$100,000 (RM467,250) untuk menjejaki Pakar Strategi Ketenteraan sayap tentera Hamas, Muhammad Dheif.

"Pengakhiran Hamas semakin hampir. Demi masa depan anda.

"Sesiapa boleh menyampaikan maklumat yang boleh membantu kami menangkap individu yang membawa kemusnahan dan kehancuran di Semenanjung Gaza akan diberi ganjaran," demikian petikan nota risalah itu yang tular di media sosial sejak malam tadi.

Risalah itu yang mengandungi logo IDF turut menjanjikan kerahsiaan pemberi maklumat termasuk selain menyertakan nombor telefon pihak Israel dan nama akaun aplikasi Telegram.

Penduduk yang berkongsi risalah itu di akaun Instagram Noor Harazeen berkata, agak melucukan apabila Israel menyerang Gaza membabi buta selama ini tanpa mengetahui keberadaan Hamas.

"Jadi secara teknikalnya tentera Israel menyerang Gaza dengan tidak mengetahui di mana orang Hamas!

"Macam mana pula dengan kisah semua orang awam yang terkorban dan kami mencari Hamas?" katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Disember 2023 @ 4:57 PM