LELAKI memeriksa kerosakan di sebuah rumah akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
LELAKI memeriksa kerosakan di sebuah rumah akibat serangan Israel di Semenanjung Gaza. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Tentera Israel meningkatkan tindakan terhadap Jihad Islam dengan menahan 19 anggota kumpulan itu di Tebing Barat, sambil melancarkan serangan lanjut terhadap sasaran di Semenanjung Gaza.

Kenyataan tentera berkata, tentera dan ejen dari agensi keselamatan dalaman Shin Bet melaksanakan operasi di beberapa lokasi Tebing Barat.

"Daripada 20 orang yang ditahan dalam serbuan terbaru, 19 daripadanya adalah pejuang (kumpulan) Jihad Islam," kata tentera Israel.

Ketegangan terbaharu di Semenanjung Gaza dicetuskan oleh tindakan tentera zionis yang sebelum ini menahan pejuang utama kumpulan Jihad Islam, Bassem al-Saadi di Tebing Barat

Tentera zionis mendakwa individu itu mendalangi beberapa serangan ke arah pihaknya.

Jihad Islam, sebuah kumpulan pejuang yang disokong Iran, mempunyai kehadiran yang kuat di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat, wilayah Palestin yang diduduki oleh Israel sejak 1967.

Israel menegaskan Jihad Islam di Gaza merancang untuk menyerang selatan Israel.

Ia sebagai membalas dendam terhadap penahanan Saadi dan Israel mendakwa ia memaksa pihaknya melancarkan serangan ke Semenanjung Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Ogos 2022 @ 2:30 PM