ORANG ramai mengusung jenazah salah seorang rakyat Palestin yang terbunuh selepas pertempuran dengan rejim Israel di Nablus, Tebing Barat. FOTO AFP
ORANG ramai mengusung jenazah salah seorang rakyat Palestin yang terbunuh selepas pertempuran dengan rejim Israel di Nablus, Tebing Barat. FOTO AFP
AFP

Baitulmaqdis: Empat rakyat Palestin terbunuh dan hampir 20 lagi cedera awal pagi ini dalam serbuan dilakukan tentera Israel di Tebing Barat yang dijajah, kata Kementerian Kesihatan Palestin.

"Terdapat tiga maut dan 19 cedera, tiga daripadanya parah terkena tembakan Israel di Nablus," kata kementerian itu dalam satu kenyataan ringkas merujuk kepada sebuah bandar di Tebing Barat yang dijajah Israel.

Kementerian itu kemudian melaporkan seorang lagi rakyat Palestin terbunuh terkena tembakan Israel, kali ini di Ramallah yang juga lokasi ibu pejabat Pihak Berkuasa Palestin (PA) di tengah Tebing Barat.

Tentera Israel tidak segera mengulas mengenai jumlah mangsa terkorban, tetapi mengesahkan dalam satu mesej ringkas kepada akhbar, mereka menjalankan operasi malam di Nablus.

"Presiden Palestin Mahmoud Abbas sedang mengadakan "hubungan segera untuk menghentikan pencerobohan ini terhadap rakyat kita"," kata jurucakapnya Nabil Abu Rudeinah dalam satu kenyataan.

Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, sekumpulan pejuang muda Palestin bergabung dengan kumpulan utama seperti Fatah, Hamas dan Jihad Islam menjalankan operasi anti-Israel di Nablus, sebuah bandar besar di Tebing Barat.

Kumpulan baharu itu dipanggil Areen al-Ossoud atau dalam bahasa Inggerisnya dikenali sebagai The Lions' Den mengaku bertanggungjawab dalam serangan maut ke atas seorang askar Israel dua minggu lalu di Tebing Barat.

Pemimpin, Ibrahim al-Nabulsi, yang digelar 'Singa Nablus', terkenal kerana menyemarakkan semangat golongan muda sebelum beliau ditembak mati oleh tentera Israel pada Ogos lalu.

Beliau menjadi hero rakyat Palestin di media sosial.

Selepas itu, tentera Israel mengetatkan kuasa ke atas Nablus dengan menetapkan kawalan untuk mengenal pasti individu yang meninggalkan bandar dengan pengawasan menerusi dron pemerhatian.

Pada malam Sabtu, seorang pejuang Lions' Den, Tamer al-Kilani, terbunuh di Kota Lama Nablus menerusi "letupan" yang dikaitkan kumpulan itu dan akhbar Israel sebagai bom yang diaktifkan dari jarak jauh oleh tentera Israel.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Oktober 2022 @ 9:40 AM