ORANG ramai membawa potret Aung San Suu Kyi ketika menyertai perarakan sempena ulang tahun kedua rampasan kuasa tentera Myanmar, di luar Kedutaan Myanmar di Tokyo. FOTO Reuters
ORANG ramai membawa potret Aung San Suu Kyi ketika menyertai perarakan sempena ulang tahun kedua rampasan kuasa tentera Myanmar, di luar Kedutaan Myanmar di Tokyo. FOTO Reuters
AFP

Naypyidaw: Pihak berkuasa tentera Myanmar, pada Rabu, mengumumkan lanjutan enam bulan lagi untuk tempoh darurat di negara itu.

Berikutan itu, pilihan raya yang dijanjikan junta diadakan menjelang Ogos ditangguhkan, ketika usaha giat dijalankan bagi memerangi pejuang antirampasan kuasa di seluruh negara.

Ketua Junta, Min Aung Hlaing mengakui bahawa lebih satu pertiga daripada perbandaran negara itu tidak berada di bawah kawalan tentera sepenuhnya, menerusi komen dilaporkan oleh media tempatan pada Rabu.

Pengakuan itu dibuat ketika Majlis Pertahanan dan Keselamatan Negara bersetuju untuk memanjangkan tempoh darurat yang diisytiharkan apabila jeneral menggulingkan kerajaan pimpinan Aung San Suu Kyi.

"Tempoh darurat akan dilanjutkan selama enam bulan lagi mulai 1 Februari," kata pemangku Presiden Myint Swe dipetik sebagai berkata oleh media tempatan.

Lanjutan tempoh darurat menyekat pilihan raya yang sepatutnya diadakan mengikut perlembagaan negara.

Tentera memerintah Myanmar selama beberapa dekad selepas merdeka daripada Britain pada 1948, dan menguasai ekonomi dan politik negara itu, termasuk sebelum rampasan kuasa.

Sementara itu, Min Aung Hlaing mengulangi ikrar untuk bekerja ke arah pilihan raya di seluruh negara dan menyatakan tentera akan mengekalkan peranan utamanya.

"Tentera akan sentiasa menjadi penjaga kepentingan negeri dan rakyat. di bawah mana-mana kerajaan akan datang," katanya, menurut MRTV.

Menurut rekod, Myanmar bergolak sejak rampasan kuasa tentera pada 2021 dan tindakan keras seterusnya terhadap perbezaan pendapat mencetuskan pertempuran di seluruh negara sambil menjejaskan ekonomi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Februari 2023 @ 10:39 AM