CHRIS Hipkins pada sidang media pertamanya, hari ini. FOTO Reuters.
CHRIS Hipkins pada sidang media pertamanya, hari ini. FOTO Reuters.
AFP

Wellington: Perdana Menteri baharu New Zealand, Chris Hipkins berikrar mahu memenangi pilihan raya umum, Oktober ini bagi merencanakan sesuatu untuk manfaat rakyat negara itu.

Hipkins, 44, muncul sebagai calon tunggal untuk mengetuai Parti Buruh yang memerintah dalam mesyuarat ahli parlimen dan dijadualkan mendapat pengesahan formaliti, esok.

Sebagai pemimpin parti, beliau akan mengambil alih jawatan perdana menteri ke-41 negara itu berikutan peletakan jawatan Jacinda Ardern secara mengejut, Khamis lalu.

Hipkins dalam sidang akhbar pertamanya hari ini memberitahu pemberita, beliau rasa bersemangat memegang jawatan baharu itu.

"Ia adalah hari yang bersejarah buat seorang budak lelaki dari Hutt.

"Ibu bapa saya berasal dari keluarga yang agak sederhana dan bekerja keras untuk menyediakan kehidupan yang baik untuk abang dan saya," katanya merujuk wilayah Hutt Valley, Wellington.

Hipkins, berikrar meningkatkan taraf kehidupan penduduk New Zealand.

Namun, beliau enggan memberikan dasar atau rancangan kementerian selain menyatakan cadangannya untuk mengekalkan jawatan Menteri Kewangan, Grant Robertson.

Menurutnya, beliau juga sudah berhubung dengan Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese.

Hipkins memuji Ardern sebagai pemimpin yang negara perlukan pada masa mereka memerlukannya, namun bersetuju beliau menerima kebencian tanpa toleransi.

Sebelum ini, Hipkins meraih pujian atas tindakannya menangani Covid-19 dengan menutup sempadan negara sebelum dibuka semula sepenuhnya Ogos tahun lalu.

Beliau mengakui, tahun lalu orang ramai sudah mula muak dengan sekatan pandemik yang ketat selain menyifatkan penutupan sempadan menyukarkan perjalanan.

Pemilihan Hipkins sekali gus membatalkan spekulasi Menteri Kehakiman, Kiri Allan, salah seorang ahli parlimen kanan Parti Buruh, mungkin menjadi perdana menteri Maori pertama di negara itu.

Allan memuji Hipkins sebagai seorang yang tegas dan berkata beliau percaya Hipkins akan menjadi seorang perdana menteri yang hebat.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 1:07 PM