Gambar fail, penduduk berjalan di bandar Wellington. FOTO AFP.
Gambar fail, penduduk berjalan di bandar Wellington. FOTO AFP.
AFP

Wellington: New Zealand pada Khamis mengeluarkan rancangan tentatif untuk membuka semula sempadan, di tengah tekanan daripada rakyatnya yang terkandas di luar negara susulan sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19.

Menteri Tindak Balas Covid-19 Chris Hipkins berkata, pengembara dari segelintir negara kepulauan kecil Pasifik bakal diberi perjalanan bebas kuarantin mulai bulan depan dan pertimbangan sama mungkin diberi kepada mereka dari negara berisiko rendah, awal 2022 nanti.

Katanya, tempoh kuarantin 14 hari di hotel yang ketika ini dikenakan ke atas semua ketibaan antarabangsa akan dikurangkan kepada tujuh hari pada November dan diganti dengan pengasingan di rumah.

Menurutnya, sempadan bertindak sebagai 'kubu' negara itu melawan Covid-19 tetapi varian Delta yang menular di Auckland menjelaskan bahawa kebanyakan kes baharu adalah jangkitan dalam komuniti.

"Kami juga maklum mengenai tekanan mengenai sempadan ketika dunia mula berhubung semula dan peningkatan permintaan daripada rakyat di sini dan luar negara yang mahu berjumpa insan kesayangan," katanya.

New Zealand merekodkan hanya 28 kematian Covid-19 berbanding keseluruhan hampir lima juta penduduknya.

Namun, sekatan sempadan meningkatkan ketegangan dengan ribuan warga New Zealand di luar negara berebut untuk menempah 4,000 bilik hotel bagi menjalani kuarantin apabila memasuki negara itu.

Media tempatan kerap melaporkan kesukaran warga negara yang tidak dapat melawat ahli keluarga sakit dan berhadapan krisis keluarga kerana peraturan kuarantin.

Hipkins berkata, perubahan peraturan akan mengurangkan tempahan bilik hotel dan kerajaan menyasarkan untuk beralih kepada kuarantin di rumah pada tiga bulan pertama 2022 apabila 90 peratus populasinya lengkap vaksinasi.

Katanya, buat masa ini tidak diputuskan sama ada pengasingan di rumah terpakai untuk rakyat negara itu sahaja atau turut membabitkan pelancong asing.

Dalam pada itu, katanya pengembara dari Samoa, Tonga, Vanuatu dan Tokelau tidak perlu menjalani kuarantin bermula 8 November selaras kesepakatan terjalin dengan Kepulauan Cook dan Niue.

Hipkins bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada gelembung perjalanan dengan Australia dibuka semula selepas dibatalkan pada Jun lalu kerana penularan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Oktober 2021 @ 1:48 PM