Gambar fail, penduduk berjalan di bandar Wellington. FOTO AFP.
Gambar fail, penduduk berjalan di bandar Wellington. FOTO AFP.
AFP

Wellington: New Zealand mengesahkan penularan baharu Covid-19 dalam komuniti, hari ini dengan tiga sekeluarga positif termasuk seorang wanita yang bekerja dengan syarikat perkhidmatan katering bagi penerbangan antarabangsa.

"Ia masih baharu dan jangkitannya aktif," kata Menteri Kesihatan Chris Hipkins.

Pihak berkuasa bagaimanapun tidak mengaitkan kes itu dengan perkhidmatan makanan penerbangan kerana terdapat jurang lapan hari antara hari terakhir wanita itu bekerja dan pada tarikh dia disahkan positif.

"Satu perkara yang saya diperincikan ketika ini adalah mendapatkan lebih maklumat berhubung punca (penularan)... yang mana ia masih samar.

"Kita juga melihat sama ada terdapat bukti Covid-19 ada di luar sana, dalam komuniti dan menular dalam kalangan mereka," katanya.

Wanita dan anak perempuannya disahkan positif Covid-19 pada Sabtu, sebelum sampel bapanya mengesahkan wabak sama pada Ahad.

Hipkins berkata, tiada keperluan untuk memperkenalkan peraturan baharu sementara petugas kesihatan menyiasat punca jangkitan.

Sekolah anak perempuan wanita berkenaan akan ditutup selama dua hari untuk membolehkan kakitangan dan murid disaring.

New Zealand mengesan beberapa kes Covid-19, tiga minggu lalu, mengakhiri rekod lebih dua bulan tanpa kes dalam komuniti.

Semua kes berkenaan dikesan di hotel yang menjadi tempat individu menjalani kuarantin selepas pulang dari luar negara.

Sementara itu, Perdana Menteri Jacinda Ardern membatalkan urusan di Auckland dan kembali ke ibu negara untuk penerangan mengenai wabak terkini itu.

Ardern disanjung susulan kecekapan dalam mengurus pandemik global berkenaan dengan New Zealand hanya merekodkan 25 kematian dan kurang daripada 2,000 kes, berbanding lima juta penduduknya.

Negara itu menutup pintu sempadan dan menguatkuasakan perintah berkurung selama lima minggu pada Mac dan April tahun lalu.

Kebanyakan sekatan kini dilonggarkan selepas wabak berjaya dikawal, namun Ardern dilapor berkata, sempadan negara itu berkemungkinan terus ditutup, tahun ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 12:10 PM