CHRIS Hipkins. FOTO  AFP
CHRIS Hipkins. FOTO AFP
Reuters

Wellington: Chris Hipkins bersedia untuk menggantikan Jacinda Ardern sebagai perdana menteri baharu New Zealand.

Menurut Parti Buruh hari ini, peluang Hipkins memegang jawatan itu cerah selepas muncul sebagai satu-satunya calon untuk mengetuai parti itu.

Pelantikan Hipkins sebagai pemimpin baharu dijangka disahkan pada mesyuarat 64 ahli parlimen Parti Buruh, atau Kaukus, esok.

Pertama kali dipilih sebagai ahli parlimen untuk Parti Buruh pada 2008, Hipkins yang berusia 44 tahun menjadi terkenal di hadapan respons kerajaan terhadap wabak itu selepas dilantik sebagai menteri untuk Covid-19 pada November 2020.

Kini beliau memegang jawatan menteri untuk polis, pendidikan dan perkhidmatan awam serta ketua Dewan.

Tinjauan ringkas Horizon Research yang diperoleh organisasi media tempatan Stuff, Jumaat lalu menunjukkan, Hipkins adalah calon berpotensi paling popular dalam kalangan pengundi dengan meraih 26 peratus sokongan daripada mereka yang ditinjau.

Pengesahan Hipkins oleh ahli parlimen Buruh pada mesyuarat petang esok dijangka menjadi formaliti.

Khamis lalu, Ardern membuat pengumuman mengejutkan apabila berkata beliau akan berundur dan tidak bertanding semula.

Ardern kemudiannya akan mengemukakan peletakan jawatannya kepada Gabenor Jeneral sebelum Hipkins dilantik.

Beliau bersedia untuk mengadakan sidang akhbar pertamanya, petang ini.

Jika disahkan, Hipkins akan menjadi perdana menteri sehingga penggal parti itu tamat sebelum pilihan raya umum, 14 Oktober.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 January 2023 @ 10:25 AM