GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Agensi

Singapura: Singapura mewajibkan hanya individu lengkap vaksinasi Covid-19 sahaja dibenarkan kembali bekerja di pejabat.

Selain itu, Kementerian Kesihatan (MOH) turut memberi kelonggaran hanya individu yang sembuh daripada jangkitan Covid-19 selepas 270 hari sahaja boleh kembali ke pejabat.

Pekerja yang belum divaksin tidak akan dibenarkan ke tempat kerja, melainkan jika mereka diuji negatif daripada wabak itu dengan kos ujian ditanggung sendiri.

Ujian pengesanan itu perlu dilakukan menerusi pembekal diiktiraf MOH dan mesti sah, selama 24 jam dari tempoh pekerja dikehendaki berada di tempat kerja mereka.

Majikan juga sangat digalakkan memberi pertimbangan khas kepada pekerja hamil atau tidak layak secara perubatan untuk divaksin.

"Pekerja hamil juga digalakkan untuk mengambil vaksin dengan vaksin sesuai di bawah NVP secepat mungkin," kata panduan dikeluarkan dua kementerian itu yang dipetik portal CNA.

Bagi pekerja yang tidak layak secara perubatan untuk semua vaksin di bawah program vaksinasi kebangsaan (NVP) termasuk Sinovac, mereka akan dikecualikan dari syarat vaksinasi jika perlu bekerja di tempat kerja, kata MOH dan Kementerian Sumber Manusia (MOM).

Jika tidak, kumpulan pekerja ini perlu dibenarkan bekerja dari rumah.

Ketidakhadiran mereka di tempat kerja tidak akan menjejaskan penilaian pencapaian mereka, malah mereka perlu diberikan kerja sesuai yang boleh dibuat dari rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Oktober 2021 @ 10:40 AM