FOTO HIASAN EPA
FOTO HIASAN EPA
Agensi

Singapura: Sekitar lapan daripada setiap 10 pekerja dan majikan di Singapura percaya bahawa vaksinasi bagi melawan Covid-19 seharusnya diwajibkan di tempat kerja.

Berdasarkan tinjauan dibuat laman kerja yang berpangkalan di Amerika Syarikat, Indeed, yang dijalankan antara Julai dan Ogos, turut mendapati bahawa sekitar lima daripada 10 pekerja (54 peratus) di sini berpendapat bahawa rakan-rakan kerja mereka yang secara aktif memilih untuk tidak divaksin sepatutnya diberhentikan kerja.

Namun, hampir empat daripada 10 pekerja (39 peratus) merasakan bahawa langkah berkenaan mungkin keterlaluan.

Tinjauan itu dibuat dalam kalangan 1,000 pekerja dan 251 majikan dalam sektor teknologi, perbankan, kewangan dan perusahaan di Singapura, lapor Berita Mediacorp.

Ia juga menunjukkan bahawa 79 peratus majikan dan 84 peratus pekerja di sini bersetuju bahawa syarikat-syarikat seharusnya berusaha untuk mengetahui siapa dalam kalangan pekerja mereka yang belum atau sudah divaksin.

"Sokongan kuat terhadap vaksinasi menunjukkan kesungguhan untuk melangkah keluar daripada pandemik yang membebankan ekonomi, kesejahteraan fizikal dan emosi," menurut laporan itu.

Ketika ini, vaksinasi tidak diwajibkan ke atas pekerja warga Singapura yang mahu kembali ke pejabat.

Namun, semua majikan digesa supaya melaksanakan rejim yang memerlukan pekerja mereka divaksin sepenuhnya atau mensyaratkan pekerja yang tidak divaksin untuk menjalani ujian berkala bagi memastikan tempat kerja bebas daripada jangkitan Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 7:22 PM