KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2020. Gambar Hiasan penyelidikan tentang vaksin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
KUALA LUMPUR 27 NOVEMBER 2020. Gambar Hiasan penyelidikan tentang vaksin. NSTP/HASRIYASYAH SABUDIN
BERNAMA

Singapura: Kementerian Kesihatan Singapura hari ini menyatakan mereka akan menawarkan vaksin Covid-19 pada bulan ini, kepada pemandu dan pengiring lori kargo terpilih yang sering memasuki Singapura dari Malaysia.

Kenyataan MOH itu menyatakan, vaksinasi itu bertujuan untuk meminimakan risiko jangkitan kepada pekerja yang terbabit dalam penghantaran barangan perlu ke Singapura.

"Vaksinasi akan memberikan perlindungan tambahan terhadap Covid-19, memastikan kakitangan terbabit akan terus menghantar barangan perlu ke Singapura dengan selamat," katanya.

MOH menyatakan, mereka yang terpilih untuk divaksin akan dimaklumkan menerusi Perkhidmatan Pesanan Ringkas (SMS) daripada Kementerian Perdagangan dan Industri Singapura dan akan dihubungi selepas itu untuk janji temu menjalani vaksinasi di tempat yang ditetapkan di Singapura.

Mereka yang tidak menerima vaksin akan terus dibenarkan memasuki negara itu, bergantung kepada langkah pengawalan jangkitan yang dikenakan seperti ujian saringan ketika ketibaan dan langkah pengurusan keselamatan.

Berkaitan program vaksinasi Singapura, kementerian itu menyatakan sehingga 7 Mac 2021 mereka telah melaksanakan lebih daripada 596,000 dos vaksin Covid-19.

Secara keseluruhannya MOH menyatakan kira-kira 379,000 individu di Singapura telah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin Covid-19 dan lebih daripada 217,000 sudah menerima dos kedua dan melengkapkan rejim vaksinasi penuh.

Kementerian itu juga menyatakan, apabila lebih banyak bekalan vaksin tiba, ia akan memanjangkannya kepada kakitangan perlu yang terbabit dalam fungsi kritikal seperti posmen dan kakitangan penghantaran selain wartawan dan kakitangan operasi bank yang terbabit dalam operasi perbankan dan kewangan kritikal.

Kementerian itu bersama agensi kerajaan berkaitan dan badan berkanun, mereka secara progresifnya menawarkan vaksinasi kepada kakitangan yang menyediakan perkhidmatan perlu.

Ini termasuklah agensi keselamatan yang bertanggungjawab menjaga sempadan dan undang-undang dan ketenteraman, termasuk Lembaga Imigresen dan Pemeriksaan Sempadan (ICA); mereka yang terlibat dengan utiliti seperti perkhidmatan air, tenaga dan telekomunikasi; pekerja yang berkaitan bekalan makanan keperluan dan barangan keperluan isi rumah.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Mac 2021 @ 4:47 PM