DATUK Seri Bung Moktar Radin (kanan)  menyerahkan kotak mengandungi kit ujian kendiri RTK COVID-19 kepada Pengarah JKR Sabah, Ali Ahmad Hamid.
DATUK Seri Bung Moktar Radin (kanan) menyerahkan kotak mengandungi kit ujian kendiri RTK COVID-19 kepada Pengarah JKR Sabah, Ali Ahmad Hamid.
Izwan Abdullah


Kota Kinabalu: Kakitangan semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Kerja Raya Sabah digalak melakukan ujian kendiri Covid-19 sebelum hadir bertugas di pejabat.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ujian kendiri boleh memberi keyakinan kepada kakitangan bahawa mereka bebas daripada jangkitan Covid-19, sekali gus dapat meningkatkan kehadiran kakitangan ke pejabat.

"Jika sebelum ini kita hanya membenarkan 30 peratus kakitangan hadir ke pejabat secara bergilir-gilir, mungkin selepas melakukan ujian kendiri, jumlah kehadiran kakitangan dapat ditingkatkan," katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu, Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya negeri memberikan sumbangan kit ujian kendiri Rapid Test Kit (RTK) Antigen kepada jabatan dan agensi di bawah kementerian berkenaan, baru-baru ini.

Katanya, sumbangan itu untuk memudahkan kakitangan membuat ujian saringan kendiri sekurang-kurangnya seminggu sekali bagi memastikan mereka sihat dan bebas daripada jangkitan virus Covid-19 sebelum hadir dan menjalankan tugas di pejabat.

Sementara itu, mengulas isu pemberian vaksin Covid-19 yang masih rendah di negeri ini, Bung Moktar berkata, beliau yakin vaksinasi di Sabah mampu mencapai sasaran 60 peratus penduduk dewasa lengkap vaksin menjelang akhir bulan ini.

Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan kesungguhan kerajaan Pusat khususnya Kementerian Kesihatan (KKM) memberi tumpuan membantu Sabah mengekang penularan pandemik Covid-19 seperrti diumumkan Menterinya, Khairy Jamaluddin.

Dalam sidang medianya, di sini, kelmarin, Khairy, menyatakan komitmen kerajaan Pusat menghantar 2.89 juta dos vaksin pada bulan ini ke Sabah bagi membantu kerajaan negeri meningkatkan kadar vaksinasi harian.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 September 2021 @ 1:14 PM