TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.
TANGKAP layar daripada video tular menunjukkan insiden berkenaan.
AFP

Kabul: Seorang pemain bola sepak untuk pasukan remaja Afghanistan maut akibat terjatuh selepas berpaut pada pesawat Amerika Syarikat (AS) yang sedang berlepas dari landasan di lapangan terbang di Kabul, menurut persekutuan sukan pada Khamis.

Badan sukan negara itu mengesahkan kematian Zaki Anwari ketika kekecohan di lapangan terbang berkenaan, minggu ini.

"Anwari, seperti ribuan remaja Afghanistan, mahu meninggalkan negara ini tetapi terjatuh dan meninggal dunia," kata badan berkenaan menerusi Facebook.

Ribuan rakyat Afghanistan bergegas ke lapangan terbang dalam usaha untuk meninggalkan negara itu ketika Taliban mara di Kabul sekali gus menguasai ibu negara berkenaan.

Satu rakaman video menunjukkan, ratusan orang berlari ketika pesawat tentera AS berlepas dari landasan, manakala sekumpulan lelaki berpaut pada kapal berkenaan.

Tentera AS kemudian mengesahkan mayat ditemukan di ruang roda pesawat berkenaan, dan mendakwa akan menyiasat kematian yang dikaitkan dengan kapal itu.

"Sebelum kru membawa keluar kargo, pesawat itu diserbu oleh ratusan orang awam Afghanistan," kata jurucakap Tentera Udara AS, Ann Stefanek.

Beliau berkata, memandangkan situasi keselamatan, kru memutuskan untuk segera berlepas dari landasan berkenaan, secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Ogos 2021 @ 2:10 PM