AFP

Kabul: Pemimpin kumpulan pejuang Taliban meraikan pengunduran Amerika Syarikat (AS) di lapangan terbang selepas beberapa jam selepas pengunduran kumpulan terakhir tentera berlepas dari Afghanistan.

Mereka yang lengkap berpakaian unit khas tempur itu melakukan pemeriksaan terhadap helikopter AS yang musnah.

Jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid mengetuai kumpulan itu berarak di landasan bagi meraikan pengunduran itu.

Unit khas pejuang Taliban yang dikenali sebagai Badri 313 bergambar sambil mengacukan raifal yang ditinggalkan tentera AS dan mengibar bendera putih kumpulan itu.

PEJUANG Taliban duduk di kokpit pesawat Tentera Udara Afghanistan di lapangan terbang di Kabul selepas pengunduran sepenuhnya tentera AS. FOTO AFP
PEJUANG Taliban duduk di kokpit pesawat Tentera Udara Afghanistan di lapangan terbang di Kabul selepas pengunduran sepenuhnya tentera AS. FOTO AFP

Pernah menjadi satu lokasi paling selamat di Afghanistan, kini terminal penumpang di lapangan terbang itu dalam keadaan rosak.

Kelongsong peluru kosong juga dilihat bertaburan di lantai berdekatan semua pintu masuk.

Pesawat terakhir tentera AS bersama duta negara itu berlepas dari Lapangan Terbang Hamid Karzai menjelang tengah malam Selasa sekali gus menamatkan perang selama 20 tahun di Afghanistan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Ogos 2021 @ 4:43 PM