KEBANJIRAN pelarian Afghanistan di sempadan negara itu dengan Iran. FOTO AFP
KEBANJIRAN pelarian Afghanistan di sempadan negara itu dengan Iran. FOTO AFP
Syah Rul Aswari Abdullah


Pada 11 Ogos lalu, sumber perisikan Amerika Syarikat (AS) mengandaikan Taliban akan mengepung Kabul dalam masa 30 hari, seterusnya menawan ibu negara Afghanistan itu dalam tempoh 90 hari. Sumber itu ketika memberitahu Reuters berkata, tempoh masa itu mungkin lebih panjang, jika tentera kerajaan menentang kemaraan kumpulan itu.

Ketika itu, Taliban sudah menguasai 65 peratus daripada negara berkenaan termasuk 11 ibu kota wilayah. Tindakan kumpulan itu amat pantas ketika AS mula mengundurkan tenteranya secara besar-besaran dari Afghanistan sejak 1 Mei lalu selepas 20 tahun berperang di negara berkenaan.

Pentagon pada masa sama menyifatkan tiada sebarang 'ancaman pasti' kepada Kabul. Namun, apa yang terjadi adalah sebaliknya. Hanya dalam tempoh 10 hari, Taliban berjaya menawan ibu negara itu. Apa yang lebih mengejutkan, Kabul ditawan dengan hampir tanpa sebarang pertempuran.

Ia sekali gus menyaksikan Taliban kembali menguasai negara itu iaitu dua minggu lebih awal sebelum 31 Ogos iaitu tarikh akhir pengunduran sepenuhnya tentera AS. Ia seakan-akan memadam episod perang 20 tahun yang menyaksikan 6,000 tentera AS dan lebih 100,000 rakyat Afghanistan terkorban dan menelan kos lebih AS$2 trilion di pihak AS.

Sehari sebelum Kabul ditawan pada Ahad minggu lalu, kerajaan pimpinan Perdana Menteri Ashraf Ghani menegaskan bahawa situasi di Kabul adalah terkawal. Namun, selepas Taliban menakluk Kabul, Ghani sebenarnya sudah melarikan diri ke Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Menurut Ghani, tindakan itu adalah untuk mengelak pertumpahan darah yang lebih dahsyat.

Liputan CNN pula menunjukkan pejuang Taliban yang berada di depan Kedutaan AS yang sudah kosong. Menurut ketua koresponden antarabangsanya, Clarissa Ward, tidak pernah dapat dibayangkan bahawa perkara itu akan berlaku. Wanita itu yang memakai abaya hitam dan berhijab turut menemu bual tentera kumpulan berkenaan.

Pada masa sama, masyarakat antarabangsa dikejutkan dengan foto dan video amatur yang menunjukkan penduduk Kabul bergegas ke lapangan terbang. Mereka terpaksa menceroboh kawasan tarmac (landasan terbang yang menempatkan pesawat) dalam usaha saat akhir untuk keluar dari tanah air

Ada juga menceroboh skybridge (jambatan yang menghubungkan terminal dengan pintu pesawat), malah ada yang sanggup bergadai nyawa dengan berpaut pada kapal terbang tentera AS yang mahu berlepas dari landasan. Ia seolah-oleh untuk meraih ihsan meskipun mereka mengetahui tindakan itu hanya sia-sia.

Jadi, apa yang sebenarnya menyebabkan Taliban mampu merampas semula negara itu dalam tempoh singkat?

Felo kanan di Yayasan untuk Pertahanan Demokrasi, Bill Roggio ketika bercakap kepada CNBC berkata, ia sebenarnya berpunca daripada kegagalan perisikan AS. Menurutnya, kegagalan itu menyebabkan Taliban kembali menakluk Afghanistan.

"Ini adalah kegagalan risikan tahap tertinggi," katanya pada program Squawk Box Asia menerusi saluran berkenaan.

Selain itu, beliau menyamakan kegagalan itu terburuk selepas Tet Offensive ketika Perang Vietnam yang merujuk kepada serangan mengejut tentera Vietnam Utara terhadap 100 bandar dan outpost di Vietnam Selatan pada Januari dan Februari 1968.

Roggio berkata, Taliban menerusi kedudukan dan mengguna pakai asetnya, merancang dan melaksanakan serangan besar-besaran sejak awal Mei sebelum melaksanakan serangan terakhir sedangkan pegawai AS meramalkan kerajaan dan tenteranya mampu mengekang usaha itu untuk tempoh antara enam bulan sehingga setahun.

Semua itu sudah menjadi sejarah. Realitinya, Taliban kini kembali memerintah negara dengan kira-kira 38 juta penduduk itu. Hanya masa akan menentukan sama ada rejim baharu ini akan berpegang kepada janjinya untuk tidak mengulangi apa yang pernah dilakukan ketika mentadbir negara itu lebih dua dekad lalu.

Penulis Penolong Pengarang Berita Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Ogos 2021 @ 6:00 AM