Seorang pejuang Taliban mengawal lapangan terbang ketika pesawat PIA berlepas dari Kabul. - FOTO AFP
Seorang pejuang Taliban mengawal lapangan terbang ketika pesawat PIA berlepas dari Kabul. - FOTO AFP
AFP

Kabul: Sebuah pesawat Pakistan International Airlines (PIA) yang membawa beberapa penumpang tiba di lapangan terbang Kabul, hari ini, dan menjadi penerbangan komersial antarabangsa pertama mendarat sejak Taliban mengambil alih kuasa di Afghanistan 15 Ogos lalu.

Lapangan terbang berkenaan terbiar sejak anggota beruniform asing keluar dari negara berkenaan dan membawa kira-kira 120,000 individu.

Sejak daripada itu, Taliban dilihat cuba 'menghidupkan' semula operasi lapangan terbang dengan bantuan daripada Qatar dan beberapa negara.

Seorang wartawan AFP dalam penerbangan dari Islamabad berkata, hampir tidak ada orang di dalam pesawat berkenaan kerana terdapat sekitar 10 penumpang dan mungkin lebih ramai kakitangan daripada penumpang.

Penyambungan semula operasi penerbangan komersial menjadi medan ujian bagi kumpulan berkenaan, yang berulang kali menyatakan untuk membenarkan warga Afghanistan yang memiliki dokumen lengkap untuk meninggalkan negara itu.

Jurucakap PIA berkata, pihaknya berhasrat meneruskan perkhidmatan penerbangan komersial secara kerap namun, masih terlalu awal untuk menentukan kekerapan penerbangan antara kedua-dua bandar itu.

Qatar Airways mengendalikan beberapa penerbangan sewa keluar dari Kabul minggu lalu yang membawa sebahagian besar warga asing dan Afghanistan yang terlepas dari proses pemindahan.

Syarikat penerbangan Afghanistan memulakan perkhidmatan domestik pada 3 September lalu.

Ruang menunggu penumpang dan pelbagai infrastruktur teknikal berdepan kerosakan teruk selepas beberapa hari Taliban mengambil alih Kabul pada 15 Ogos lalu berikutan ribuan individu menyerbu lapangan terbang untuk melarikan diri.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 13 September 2021 @ 6:45 PM