BERNAMA

Moscow: Sekurang-kurangnya sepuluh orang terbunuh dan sepuluh yang lain cedera dalam insiden rempuhan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kabul, lapor Sputnik memetik penyiar Afghanistan TOLO News, semalam.

Menurut pentadbiran lapangan terbang insiden itu berpunca daripada maklumat palsu mengenai terdapat kekosongan tempat duduk dalam pesawat yang akan tiba dan berlepas di lapangan terbang berkenaan ketika banyak penerbangan dibatalkan.

Maklumat itu menyebabkan penduduk berpusu-pusu ke lapangan terbang dan kebanyakan mereka tidak mempunyai pasport.

Pengawal Taliban berkawal di jalan di Kunduz, Afghanistan. Foto AFP
Pengawal Taliban berkawal di jalan di Kunduz, Afghanistan. Foto AFP

Kelmarin, Taliban menawan Afghanistan sebaik berjaya menguasai Kabul, menyaksikan Presiden Mohammad Ashraf Ghani meletak jawatan dan meninggalkan negara itu.

Banyak negara lain memutuskan untuk membawa keluar rakyat dan petugas diplomatik masing-masing kerana keadaan keselamatan yang tidak menentu.

Meskipun tentera asing ditempatkan di lapangan terbang Kabul, ribuan penduduk tetap menyerbu lapangan terbang itu dengan harapan dapat melarikan diri.

Tentera asing terpaksa melepaskan tembakan untuk memastikan warga dan petugas asing dapat dibawa keluar dengan selamat.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Ogos 2021 @ 5:34 PM