KIRSTEN Peterson. FOTO Agensi
KIRSTEN Peterson. FOTO Agensi
Agensi

Sydney: Seorang jururawat veteran di Australia kehilangan kerja selepas dia didapati memberikan tiga lebihan dos vaksin yang tidak digunakan kepada ahli keluarganya.

Kirsten Peterson , 67, sebelum ini membantu memberikan suntikan vaksin kepada warga emas dan orang kurang upaya (OKU) yang tinggal di rumah penjagaan di bandar ini.

Namun, dia kini dipecat selepas memberikan suntikan vaksin kepada anak perempuan dan anak saudaranya.

Dia bertindak sedemikian kerana berasa rugi jika vaksin itu hanya dibuang begitu saja.

Satu bebuli vaksin Pfizer cukup untuk lima suntikan dan ia perlu digunakan sebelum ia tamat tempoh beberapa jam kemudian.

Peterson kemudiannya menyedari dia perlu membuang lebihan tiga dos vaksin itu, sebelum memanggil anak perempuan dan dua anak saudaranya untuk disuntik.

Ketiga-tiga mereka layak untuk disuntik namun masih belum menerima slot suntikan.

Wanita yang sudah bertugas selama 43 tahun itu berkata, ia sesuatu yang menyedihkan apabila tiga suntikan itu dibuang begitu saja ke dalam tong sampah.

"Vaksin yang tidak digunakan itu dibuang begitu saja dan ia sesuatu yang tidak baik kerana boleh diberikan kepada orang lain.

"Saya tidak pernah membuka vaksin yang baru semata-mata untuk disuntik kepada ahli keluarga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Ogos 2021 @ 6:01 AM