GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
GAMBAR hiasan. FOTO Reuters
AP

New York: Pegawai Amerika Syarikat (AS) berkata mereka mampu menghantar lebih banyak dos vaksin cacar monyet berbanding jumlah yang sudah ditetapkan sebelum ini, kerana perubahan strategi yang membolehkan lebih banyak suntikan diambil dari setiap botol (vial).

Sebelum ini, Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia AS menjangkakan hanya membenarkan 221,000 dos dipesan mulai Isnin.

Bagaimanapun, pegawai berkata, mereka akan mengeluarkan 442,000 dos untuk pesanan mengikut jabatan kesihatan negeri, tempatan dan wilayah.

Pengeluaran itu hanya boleh dilaksanakan selepas pegawai kesihatan AS berkata, mereka akan meluaskan bekalan vaksin cacar monyet, Jynneos dengan memberikan suntikan kepada satu perlima dos biasa, di bawah kulit.

Sebelum ini, setiap dos vaksin memerlukan satu botol (vial) penuh yang disuntik ke dalam tisu yang lebih dalam.

Mereka memetik penyelidikan yang menunjukkan bahawa jumlah yang dikurangkan adalah sama berkesan.

442,000 dos akan bersamaan dengan kira-kira 88,000 vial.

Pegawai berkata, pendekatan baharu itu membolehkan mereka menyediakan ratusan ribu lagi dos, sementara mereka mengumpul data mengenai bagaimana suntikan itu akan digunakan.

Ia akan membantu kerajaan memastikan dos diberikan ke tempat dan orang yang paling memerlukannya, kata pegawai.

Pegawai AS sebelum ini menghantar lebih daripada 630,000 dos, walaupun tidak semuanya sudah digunakan.

Pegawai kesihatan persekutuan mencadangkan mereka memerlukan kira-kira 3.2 juta suntikan untuk memberi suntikan vaksin semua mereka yang dianggap berisiko tinggi dijangkiti cacar monyet.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2022 @ 9:15 AM