GAMBAR hiasan. Vaksin Pfizer yang  digunakan bagi suntikan dos penggalak di Georgetown. FOTO Mikail Ong
GAMBAR hiasan. Vaksin Pfizer yang digunakan bagi suntikan dos penggalak di Georgetown. FOTO Mikail Ong
Nur Izzati Mohamad


Georgetown: Kira-kira 500 penduduk Pulau Pinang khususnya warga emas dilaporkan menolak untuk menerima suntikan dos penggalak Covid-19.

Ia berikutan keengganan mereka untuk menerima dos penggalak vaksin keluaran Pfizer kerana mahu mengekalkan jenama yang disuntik sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Norlela Ariffin berkata, beliau menerima laporan berkenaan daripada sebuah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Offsite di Seberang Jaya.

"Melalui laporan pada 24 November itu, kira-kira 500 individu khususnya membabitkan warga emas yang hadir mendapatkan suntikan dos penggalak tiba-tiba membuat keputusan tidak menerima suntikan berkenaan pada saat-saat akhir.

"Ini kerana apabila mereka sampai di fasiliti pemberian dos penggalak dan mengetahui vaksin yang bakal diterima adalah Pfizer maka ramai bertindak tidak mahu mengambilnya kerana inginkan jenama vaksin yang mereka dapat sebelum ini.

"Hal ini banyak terjadi dalam kalangan penerima vaksin Sinovac yang mana kita memohon kelulusan segera dapat diberikan, supaya kita dapat menggunakan lebihan 200,000 dos vaksin Sinovac untuk pemberian dos penggalak di negeri ini mulai bulan depan," katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi menjawab soalan Gooi Hsio Leung (PKR-Bukit Tengah).

Jelasnya, setakat semalam Pulau Pinang merekodkan 84,541 individu yang sudah menerima suntikan dos penggalak dan menjadi lima negeri terendah mendapatkan pelalian berkenaan walaupun pelbagai inisiatif sudah diambil.

"Situasi ini juga didorong apabila fasiliti kesihatan khususnya klinik swasta hanya mampu memberi suntikan antara 20 ke 30 dos sehari yang menyebabkan kadar suntikan rendah namun kini dengan usaha yang dilakukan sudah catat keseluruhan hampir 7,000 dos sehari.

"Pada masa sama, pihak Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) sedang bekerjasama dengan pihak ProtectHealth Corporation Sdn Bhd bagi meningkatkan fasiliti swasta dari segi bilangan dan juga penambahan dos di fasiliti yang sedang melaksanakan pemberian dos penggalak," katanya.

Dalam pada itu Norlela (PKR-Penanti) berkata, beliau juga mencadangkan kepada mana-mana ADUN yang ingin mengemukakan dewan yang boleh digunakan di kawasan masing-masing untuk dijadikan lokasi pemberian dos penggalak.

Sehingga kini, Pulau Pinang mempunyai 86 klinik swasta,lapan hospital swasta dan tiga PPV yang menawarkan suntikan dos penggalak Covid-19.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 November 2021 @ 3:36 PM