ANAYA Peterson sanggup mentatu bola matanya dengan warna berlainan. FOTO Agensi
ANAYA Peterson sanggup mentatu bola matanya dengan warna berlainan. FOTO Agensi
Agensi

Dublin: Gara-gara membuat tatu pada bola matanya, wanita berusia 32 tahun dari Belfast, Ireland, menanggung derita apabila mengalami cacat penglihatan.

Oddity Central melaporkan, Anaya Peterson, penuntut jurusan undang-undang dan peminat pengaruh pengubahsuaian badan Amber Luke, tidak dapat melihat selama tiga minggu.

Ia selepas dia membuat tatu pada bola matanya dengan warna biru dan ungu, yang perlahan-lahan menjejaskan penglihatannya.

Ibu kepada lima anak itu terdorong melakukannya kerana kagum dengan wajah unik Luke.

Dia kemudian nekad membuat tatu pada bola matanya sendiri dua tahun lalu walaupun sudah diberi amaran oleh anak perempuannya yang berusia tujuh tahun mengenai kemungkinan buta.

Peterson membuat tatu bola mata kanannya pada Julai 2020, diikuti pada mata kiri , lima bulan berikutnya, walaupun mengalami sakit kepala dan masalah mata kering semasa proses penyembuhan.

Prosedur itu nampaknya berjalan lancar, namun hanya pada Ogos tahun lalu, kelopak matanya membengkak.

Oleh kerana bengkak itu semakin teruk, Peterson ke hospital untuk memeriksa keadaannya dan antibiotik kelihatan tidak memberi kesan terhadap keradangan.

Dia menerima ubat melalui titisan selama tiga hari dan biopsi diambil daripada salah satu bola matanya.

Akhirnya, Peterson terpaksa menjalani pembedahan mata untuk menyelamatkan penglihatannya.

Walaupun masalah keradangan dapat diselesaikan, warna pada bola matanya memberi kesan serius terhadap penglihatannya.

Selepas memeriksanya, pakar oftalmologi memberitahu Peterson bahawa wanita itu berisiko tinggi menghidap glaukoma dan penglihatan sudah merosot secara drastik.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Disember 2022 @ 2:14 PM