BYUN Hee-soo. FOTO YONHAP / AFP
BYUN Hee-soo. FOTO YONHAP / AFP
AFP

Seoul: Seorang askar Korea Selatan yang dipecat secara paksa selepas menjalani pembedahan penukaran jantina daripada lelaki kepada wanita, ditemukan meninggal dunia.

Mayat Byun Hee-soo ditemui oleh bomba di rumahnya di Cheongju, selatan Seoul, selepas seorang kaunselor kesihatan menghubungi perkhidmatan kecemasan.

Dia membuat laporan bahawa tidak dapat menghubungi Byun, sejak 28 Februari, lapor agensi berita Yonhap.

Polis kini menyiasat kematian mangsa.

Hee-soo, bekas staf sarjan berusia 20-an, mendaftar secara sukarela untuk menjadi tentera pada 2017, sebelum menjalani pembedahan penukaran jantina di Thailand, pada 2019

Korea Selatan ialah negara yang konservatif mengenai isu identiti seksual dan jantina serta agak kurang bertoleransi terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) berbanding beberapa negara lain di Asia.

Kebanyakan golongan gay dan transgender tidak mendedahkan identiti mereka secara terbuka.

Kementerian Pertahanan mengklasifikasikan 'kehilangan' alat kelamin lelaki Hee-soo itu sebagai satu kecacatan mental atau fizikal.

Panel tentera kemudian memutuskan pada awal 2020 bahawa Hee-soo akan diberhentikan secara paksa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 4 Mac 2021 @ 1:46 PM