Oleh Murni Wan Omar

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini, semalam, menolak permohonan seorang lelaki India yang sudah melakukan pembedahan jantina untuk menukar nama dan jantina di dalam MyKadnya

Hakim Datuk Asmabi Mohamad menolak permohonan R Vasudevan, 25, yang mahu menukar namanya kepada R Maha Lakshmi dan jantinanya kepada perempuan.

Beliau membuat keputusan itu selepas mendapati Vasudevan (plaintif) gagal menunjukkan dan memuaskan hati mahkamah bahawa dia memiliki kriteria yang diperlukan sebagai seorang wanita iaitu ciri-ciri kromosom, organ pembiakan, alat kelamin dan psikologi.

“Dalam menyelesaikan isu jantina, mahkamah perlu mengambil kira sama ada plaintif memenuhi empat kriteria itu. Di dalam kes ini tidak ada vaginoplasty (pembentukan jantina) dinyatakan melalui dua laporan hospital yang dikemukakan. Juga tidak dinyatakan ciri fizikal lain antaranya punggung dan buah dada di dalam laporan itu.

“Di dalam menentukan jantina plaintif perlu ada bukti pakar. Walaupun saya bersimpati dan memahami masalah yang dihadapi oleh transgender, tetapi berdasarkan kepada peruntukan undang-undang di negara ini, saya tidak boleh melangkauinya,” katanya.

Mahkamah menolak permohonan itu dengan kos RM3,000.

Vasudevan mengemukakan laporan hospital di Thailand iaitu tempatnya menjalani pembedahan jantina dan laporan pemeriksaan jantina dari Hospital Kuala Lumpur.

Pada 16 Julai 2014, Vasudevan memfailkan permohonan bagi mendapatkan perintah deklarasi dia sudah menukar jantina daripada lelaki kepada perempuan.

Dia juga memohon perintah supaya Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara diarahkan untuk menukar namanya dan digit terakhir nombor kad pengenalannya.

Vasudevan membuat permohonan itu dengan alasan dia sudah menjalani pembedahan penukaran jantina daripada lelaki kepada perempuan dengan sempurna.

Dia juga membuat permohonan itu kerana memerlukan perintah mahkamah bagi membolehkan Jabatan Pendaftaran Negara menukar nama dan kad pengenalannya untuk mencerminkan dia adalah seorang perempuan.

Vasudevan diwakili peguam P Muniswer manakala Peguam Kanan Persekutuan Maisarah Juhari bertindak bagi pihak Pengarah JPN yang dinamakan sebagai defendan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Jun 2015 @ 9:05 AM