Rafidah Mat Ruzki


JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) membuat laporan polis berhubung kandungan media sosial seorang pengguna Twitter yang didakwa membuat tuduhan palsu dan tidak berasas mengenai program Mukhayyam untuk komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Program berkenaan diadakan pada 30 Julai lalu anjuran bersama Jakim dan Jabatan Agama Islam Negeri untuk mereka beragama Islam.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Paimuzi Yahya berkata, pihaknya mengecam tindakan pemilik akaun Twitter dikenali Nicole Fong yang menyamakan program Mukhayyam dengan amalan terapi pertukaran daripada Barat, termasuk terapi menggunakan kejutan elektrik, pembedahan, kahwin secara paksa dan rogol secara korektif.

"Tujuan Jakim membuat laporan polis adalah supaya siasatan lanjut dilakukan terhadap tuduhan palsu berkenaan dan demi menjaga nama baik pihak kerajaan.

"Jakim berpandangan tuduhan tersebut berbaur manipulatif, berniat jahat serta dilihat ingin menghalang dan menyekat hak kebebasan beragama warga Muslim dalam kalangan komuniti LGBT yang ingin menjalani kehidupan lebih baik selari dengan tuntutan syariat," katanya.

Menurutnya, program itu bersifat sukarela dengan pendekatan harmoni dan holistik yang menekankan aspek kesedaran kerohanian, bimbingan fardu ain, kesedaran kesihatan, motivasi dan bimbingan kerjaya.

Khamis lalu, pengguna media sosial itu memuat naik beberapa poster berkaitan program Mukhayyam selain menyatakan ia bukan insiden terpencil sebaliknya berpunca daripada undang-undang anti LGBT serta program pertukaran anjuran kerajaan yang sudah lama diadakan selain mendapat pelbagai reaksi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Ogos 2020 @ 4:58 PM