WAJAH Isla Bryson selepas dan sebelum menjadi transgender. FOTO Agensi
WAJAH Isla Bryson selepas dan sebelum menjadi transgender. FOTO Agensi
Agensi

Edinburgh: Seorang transgender yang memperkosa dua wanita ketika masih menjadi lelaki dipenjara lapan tahun oleh Mahkamah Tinggi di Edinburgh.

Portal Mirror melaporkan, mahkamah turut memerintahkan Isla Bryson, 31, diletakkan bawah pengawasan polis selama tiga tahun selepas dibebaskan.

Bryson disabitkan bulan lalu kerana merogol dua wanita masing-masing di Clydebank pada 2016 dan Drumchapel, Glasgow pada 2019.

Kes itu mencetuskan kekecohan selepas Bryson pada mulanya ditempatkan di penjara wanita sebelum dipindahkan ke penjara lelaki.

Setiausaha Keadilan Scotland Keith Brown mengarahkan semakan segera kes itu dan Perkhidmatan Penjara Scotland mengambil keputusan menghentikan pergerakan semua banduan transgender yang mempunyai sejarah keganasan terhadap wanita ke penjara wanita.

Lelaki terbabit pertama kali muncul di mahkamah sebagai Adam Graham pada 2019 dan kemudian dinamakan dalam kertas pertuduhan sebagai Isla Annie Bryson.

Pada perbicaraan, mahkamah diberitahu Bryson mengalami masalah perkahwinan dan tidak bahagia sebelum tinggal bersama mangsa pertama di rumah ibunya di Clydebank pada 2016.

Mangsa, 30, semasa memberi keterangan mengenai video prarakaman mendakwa dirogol selama setengah jam.

Mangsa kedua yang memberikan keterangan melalui pautan video secara langsung pula memberitahu mahkamah bahawa Bryson merogolnya secara paksa.

Bagaimanapun, Bryson yang memberi keterangannya semasa perbicaraan mendakwa kedua-dua wanita yang dikenali secara dalam talian itu bersetuju untuk melakukan hubungan seks.

Bryson berkata mengetahui dirinya sebagai transgender pada usia empat tahun tetapi tidak membuat keputusan untuk menukarnya sehingga berusia 29 tahun.

Mahkamah diberitahu Bryson sedang mengambil hormon dan melakukan pembedahan untuk menukar jantina.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2023 @ 1:33 PM