IMEJ yang disiarkan di media tempatan menunjukkan serpihan pesawat yang terbakar di tepi lebuh raya dengan kepulan asap hitam. FOTO Agensi
IMEJ yang disiarkan di media tempatan menunjukkan serpihan pesawat yang terbakar di tepi lebuh raya dengan kepulan asap hitam. FOTO Agensi
AFP

Miami: Dua individu terbunuh selepas enjin sebuah jet peribadi gagal berfungsi menyebabkan pesawat itu terhempas ke lebuh raya di Florida, Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa.

Lima penumpang dilaporkan menaiki pesawat Bombardier Challenger 600 yang terhempas jam 3.15 petang di Interstate 75, berhampiran bandar kecil Naples, kata Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) di X.

Dua minit sebelum dijadualkan mendarat di Lapangan Terbang Perbandaran Naples, juruterbang menghubungi pusat kawalan trafik udara untuk memaklumkan keadaan dua enjin pesawat itu gagal berfungsi dan meminta pendaratan kecemasan.

"Pengawal trafik udara segera memberi kebenaran kepada pesawat untuk mendarat selepas juruterbang mengisytiharkan dia tidak akan sampai ke landasan ... (dan) cuba mendarat di Interstate 75."

"Tiga orang terselamat dalam nahas itu, kata jurucakap lapangan terbang Robin King kepada AFP dalam satu kenyataan.

Pejabat syerif Collier County mengesahkan kedua-dua mangsa maut akibat impak.

Tiada maklumat sama ada pesawat itu melanggar mana-mana kenderaan di lebuh raya.

Sementara itu, imej disiarkan di media tempatan menunjukkan serpihan pesawat yang terbakar di tepi lebuh raya dengan kepulan asap hitam.

Menurut rekod, pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Ohio State University, kata King.

FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan akan menjalankan siasatan lanjut berhubung nahas itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2024 @ 9:39 AM