PESAWAT itu terhempas di kawasan terpencil sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Wilayah Canyonlands di Moab, sebuah bandar di timur Utah. FOTO KSL TV
PESAWAT itu terhempas di kawasan terpencil sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Wilayah Canyonlands di Moab, sebuah bandar di timur Utah. FOTO KSL TV
BERNAMA

Los Angeles: Empat orang terbunuh pada malam Ahad dalam kemalangan sebuah pesawat kecil di negeri Utah, Amerika Syarikat (AS), kata pihak berkuasa pada Isnin.

Pesawat ringan itu terhempas di kawasan terpencil sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Wilayah Canyonlands di Moab, sebuah bandar di timur Utah, menurut Pejabat Syerif Grand County, lapor Xinhua.

"Tragiknya, juruterbang pesawat itu Senator Negeri Dakota Utara Doug Larsen, isterinya dan dua anak mereka tidak terselamat dalam kemalangan itu," menurut Pejabat Syerif dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook mereka.

Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa pesawat enjin tunggal Piper PA-28 terhempas, 8.20 malam waktu tempatan pada Ahad.

Gabenor Dakota Utara, Doug Burgum dalam satu kenyataan pada petang Isnin berkata, beliau "sangat sedih dengan kehilangan yang memilukan itu iaitu Senator Doug Larsen, isterinya Amy, dan kedua-dua anak lelaki mereka."

FAA dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (NTSB) akan menyiasat nahas itu dan NTSB akan mengendalikan penyiasatan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Oktober 2023 @ 11:35 AM